Dari seorang yang didiagnos menghidapi ADHD ke pentas Piala Dunia, Dumfries jadi watak penting bawa Belanda ke suku akhir

474

Pasukan Belanda nyata unggul pada perlawan pusingan 16 bertemu Amerika Syarikat hari ini selepas meraih kemenangan mudah 3-1.

Wakil eropah tersebut dilihat berjaya mendominasi perlawanan dengan gerakan-gerakan merbahaya dari sebelah tepi padang seawal wisel pertama dibunyikan.


Pemain pertahanan, Denzel Dumfries merupakan antara watak penting pada perlawanan  hari ini selepas berjaya menghasilkan dua bantuan jaringan pada separuh masa pertama sebelum melengkapkan malam gemilang dengan satu jaringan pada minit ke-81.

Nama Denzel Dumfries merupakan hasil daripada inspirasi yang diperoleh oleh ibu bapanya daripada seorang pelakon terkenal bernama Denzel Washington.

Sepanjang membesar, Dumfries pernah didiagnos menghidapi penyakit yang digelar sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder atau nama singkatnya ADHD.

Ia merupakan sebuah keadaan di mana seorang kanak-kanak memiliki kesukaran dalam memberi perhatian atau gagal mengawal sesebuah tindakan dengan pertimbangan yang sewajarnya sepertimana yang dilalui oleh Dumfries di waktu kecilnya.

Namun, itu tidak menjadi penghalang untuk beliau terus mengejar cita-citanya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Beliau terus menerus membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemain berkualiti yang terus meningkat naik di peringkat negara mahupun kelab.

Dumfries yang kini beraksi untuk Inter Milan merupakan antara sandaran utama kelab tersebut pada musim ini selepas diturunkan pada 15 aksi liga setakat ini dan berjaya menghasilkan tiga bantuan jaringan serta satu gol pada perlawanan pertama menentang Lecce.

Beliau juga cemerlang membantu Inter Milan di dalam saingan UEFA Champions League musim ini selepas berjaya membawa tiga kemenangan untuk kelab tersebut di peringkat kumpulan termasuk sewaktu menewaskan gergasi Sepanyol, FC Barcelona dengan keputusan 1-0.

Legenda Belanda, Ronald Koeman merupakan antara orang terawal yang berjaya mengesan bakat pemain ini yang mula mencipta menerusi aksinya pada saingan Euro 2020 yang membolehkan beliau menarik minat Inter Milan untuk mendapatkan khidmatnya pada Ogos 2021.

Disebabkan darah kacukan yang dimilikinya, Dumfries layak untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Aruba dan beliau pernah beraksi pada satu perlawanan mewakili negara tersebut menentang Guam yang berakhir dengan keputusan 1-1 pada tahun 2014.

Akan tetapi, beliau lebih memilih untuk mewakili Belanda selepas membuat pertimbangan dan melihat potensi besar untuk lebih menyinar dengan reputasi negara tersebut sebagai salah sebuah gergasi Eropah.

Hari ini, beliau sekali lagi membuktikan kredibilitinya sebagai antara watak penting yang berupaya membantu skuad Belanda untuk terus melakukan kebangkitan di saingan Piala Dunia selepas gagal melayakkan diri pada edisi terakhir pada tahun 2018 yang lalu.  

Dumfries setakat ini beraksi cukup cemerlang pada setiap perlawanan yang diturunkan selepas berjaya memperagakan sepenuh kemampuannya di bahagian pertahanan kanan pasukan.

Sepanjang empat perlawanan yang telah berlangsung, Belanda hanya dibolosi sebanyak dua kali iaitu pada perlawanan kedua menentang Senegal dan Amerika Syarikat.

Semestinya khidmat beliau akan terus ditagih pada pusingan suku akhir ini tatkala mereka bakal berhadapan di antara Argentina atau Australia.

Belanda memiliki rekod yang agak baik menentang Argentina selepas berjaya meraih empat kemenangan dan dua seri daripada sembilan pertemuan lalu.

Kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu Belanda tewas menerusi penentuan sepakan penalti di perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014.

Manakala untuk Australia, rekod lebih seimbang dapat dilihat di antara dua pasukan ini memandangkan mereka jarang bertemu.

Kedua-dua negara hanya pernah bertemu sebanyak empat kali sahaja bermula tahun 2006 dan Belanda berjaya mencatatkan keputusan satu menang dan dua seri.

Semestinya kedua-dua lawan ini akan memberikan cabaran yang kuat kepada Belanda dalam usaha merebut slot ke perlawanan separuh akhir kelak.

Besar harapan peminat untuk melihat pasukan kali ini melangkah lebih jauh sebagaimana yang dilakukan pada edisi 2010 untuk bergelar naib juara.