Dulu Maradona sekarang Messi, Argentina masih mimpi ngeri buat Arnold dan Australia

405

Wakil Asia, Australia terpaksa akur menerima kekalahan tipis di tangan gergasi Amerika Selatan, Argentina pada aksi pusingan 16 sebentar tadi.

Keputusan menyedihkan ini memanjangkan lagi igauan ngeri ketua jurulatih Australia, Graham Arnold tatkala bertemu dengan Argentina samada sebagai seorang jurulatih mahupun pemain sebelum ini.


Selaku seorang bekas pemain, Arnold pernah bertemu dengan Argentina pada tahun 1993 di perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia 1994 yang berlangsung secara dua pusingan.

Gerakan yang dicipta oleh legenda Argentina, Diego Maradona berjaya membantu Abel Balbo menjaringkan gol pembukaan perlawanan namun disamakan semula oleh penyerang Australia, Aurelio Vidmar untuk menamatkan aksi pertama playoff di Sydney tersebut dengan keputusan seri.

Namun segalanya berubah pada aksi timbal balik yang berlangsung di Bueno Aires tatkala pasukan Australia terpaksa berputih mata selepas tewas 1-0 menerusi jaringan sendiri yang dilakukan oleh pertahanan tengah, Alex Tobin.

Carlos Javier Mac Allister yang juga merupakan ayah kepada pemain tengah skuad Argentina ketika ini, Alexis Mac Allister turut beraksi pada perlawanan tersebut dan dilihat meraikan kejayaan pada perlawanan tersebut dengan keadaan bogel dan disiarkan secara langsung di televisyen ketika itu.

Itu adalah salah sebuah memori silam yang gelap buat Arnold sewaktu bertemu Argentina sebelum ditambah dengan keputusan pada perlawanan pusingan 16 Piala Dunia 2022 ini selaku jurulatih.

Kali ini, Arnold terus berduka dengan kegagalan beliau membimbing anak buahnya membalas dendam terhadap pasukan tersebut.

Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi dilihat menjadi ‘duri dalam daging’ kepada skuad Australia menerusi jaringan pembukaannya yang nyata berjaya meniup semangat buat pemain-pemain Argentina.

Australia tidak pernah melangkah lebih jauh daripada pusingan 16 bagi saingan Piala Dunia setakat ini.

Kali terakhir mereka berjaya melakukan perkara yang sama adalah pada penyertaan di Piala Dunia 2006 sewaktu kejohanan ini dilangsungkan di Jerman.

Ketika itu, Australia tewas di tangan juara edisi tersebut, Itali dengan keputusan tipis 1-0 menerusi jaringan penyerang utama, Francesco Totti pada masa kecederaan.

Tidak dapat dinafikan, Australia sememangnya berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi tambahan lagi selepas bermulanya separuh masa kedua.

Mereka berjaya menjaringkan satu gol walaupun ketinggalan pada awalnya serta mempamerkan kebangkitan luar biasa dari segi pengawalan permainan menuju ke penghujung perlawanan.

Terdapat beberapa pergerakan merbahaya yang berjaya menembusi barisan pertahanan Argentina namun penyudah yang kurang tajam menyebabkan Australia terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan.

Peluang terbaik muncul apabila pemain gantian, Garang Kuol memperoleh hantaran silang di dalam kawasan penalti lawan namun rembatannya ke arah gawang berjaya ditepis oleh penjaga gol, Emiliano Martinez yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Pada masa yang sama, aksi kali ini adalah sebuah peristiwa penting buat Messi tatkala ini merupakan perlawanan ke-1000 sepanjang kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.

Lebih manis, Messi berjaya menjaringkan gol pertama Argentina menerusi gerakan menarik yang dihasilkan olehnya bersama Nicolas Otamendi.

Jaringan ini juga merupakan gol pertama yang berjaya diraih oleh pemain berusia 35 tahun tersebut di pusingan kalah mati Piala Dunia sejak kali pertama menyertai pada tahun 2006.

Kejayaan ke atas Australia ni akan terus menghidupkan peluang untuk Messi merealisasikan impiannya untuk merangkul gelaran juara Piala Dunia yang setakat ini masih belum pernah diraihnya.

Buat masa ini, Messi mengungguli carta penjaring terbanyak buat skuad Piala Dunia Argentina tahun ini dengan catatan tiga gol.

Messi perlu terus memainkan peranan pentingnya dalam mengetuai pasukan ini bagi memastikan momentum kemenangan ini dapat terus dikekalkan selepas ini.

Mereka dijadual bertemu pasukan Belanda di pusingan suku akhir dan ia semestinya akan menjanjikan sebuah aksi yang cukup menarik.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada pusingan separuh akhir Piala Dunia 2014 yang berpihak kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan keputusan 4-2.

Messi perlu memastikan beliau dan rakan sepasukan berada di tahap terbaik bagi menghadapi sebuah pasukan yang cukup berkualiti di bahagian pertahanan.

Belanda hanya dibolosi sebanyak dua kali setakat ini selepas melalui empat perlawanan termasuk pusingan 16 sebentar tadi.

Mari sama-sama kita nantikan!