Premier Sarawak sudah bersuara, pemain masih tidak bergaji, pengurusan Sarawak United jangan lepas tangan sahaja

1,708

Selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, Sarawak United FC ada mengeluarkan kenyataan pengerusinya, Datuk Posa Majais mengumumkan bahawa beliau sedia berundur daripada kelab itu dan juga Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Presiden FAS itu berkata beliau mengambil tanggungjawab atas kegagalan Sarawak United untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan dan menyeru sesiapa yang berminat menggantikan beliau supaya tampil.


Baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengarahkan bahawa pengurusan FAS harus disiasat selepas kegagalan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Beliau menegaskan bahawa sukan tersebut selalu mendapat perhatian rakyat Sarawak dan mengarahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk menyiasat persatuan itu yang mentadbir Sarawak United.

Beberapa sumber kelab turut mendedahkan kepada Harimau Malaya bahawa gaji pemain kini sudah tiga bulan tidak dibayar iaitu bulan September sehingga November.

Menurutnya, pengurusan bagaimanapun memohon masa untuk menyelesaikan tunggakan tersebut pada bulan ini.

Walaupun Posa mengatakan beliau bersedia melepaskan jawatannya di Sarawak United dan FAS, beliau harus berusaha menyelesaikan masalah yang melanda pasukan ketika ini.

Beliau perlu memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri sekiranya mereka bertindak untuk menyiasat segala apa yang berlaku dalam FAS.

Abdul Karim sebelum ini juga berkata beliau pernah menghubungi kelab itu beberapa kali untuk mengadakan perbincangan tetapi sehingga sekarang mereka tidak mahu berjumpa.

Beliau juga mendedahkan Sarawak United menerima dana terbanyak mencecah jutaan ringgit setiap tahun berbanding persatuan sukan lain.

FAS harus berlaku telus kerana wang yang disalurkan adalah daripada sumber rakyat, justeru rakyat Sarawak khususnya harus tahu apa yang berlaku dalam persatuan itu.

Bagi kerajaan negeri pula, mereka harus segera menyiasat apa yang berlaku dan bertegas mengambil tindakan sekiranya terdapat salah laku.

Pemain ketika ini sedang sengsara dengan ketiadaan gaji sudah beberapa bulan, justeru campur tangan oleh kerajaan negeri dilihat wajar bagi menyelesaikan perkara ini.

Sarawak United juga dilaporkan telah membuat permohonan untuk menyertai saingan liga amatur tempatan, Liga M3 pada musim depan.

Dengan tunggakan gaji masih belum dapat diselesaikan, tidak mustahil musim depan masalah sama akan terus berulang jika tidak dibendung dari sekarang.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen