Pendekatan ‘survival of the fittest’ JDT beri ruang buat lebih ramai pemain muda untuk menyerlah

1,200

Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kelab itu adalah kelab berprestasi tinggi yang mementingkan ‘survival of the fittest’ dan tiada ruang untuk kelekaan.

Beliau memberi contoh beberapa pemain muda seperti Arif Aiman, Hong Wan dan Feroz Baharudin yang berjaya menembusi kesebelasan utama pasukan selepas menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka.


Menurutnya, pemain-pemain berkenaan adalah bukti bahawa mereka yang menunjukkan prestasi baik dan komitmen di padang latihan boleh berkembang maju di JDT.

Kesemua pemain itu malah berjaya mengetepikan pemain import untuk diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Peningkatan pemain-pemain ini boleh dijadikan inspirasi buat pemain muda lain di JDT kerana ia merupakan bukti mereka juga berpeluang untuk ‘dinaikkan pangkat’ ke pasukan utama.

Sebelum ini, terdapat sebilangan pihak yang mengatakan bahawa pemain muda tempatan sukar mendapatkan tempat dalam pasukan itu.

Namun perkara itu dapat disangkal oleh pemain seperti Arif Aiman dan Feroz yang menjadi pilihan ketua jurulatih untuk dipilih dalam kesebelasan utama dengan kerap.

Dalam pasukan JDT ketika ini, terdapat beberapa pemain muda yang dilihat turut menjadi potensi untuk menembusi skuad utama seperti Aysar Hadi, Najmuddin Akmal dan Daryl Sham.

Malah Daryl Sham juga beberapa kali telah diberikan peluang musim ini untuk bermain dengan pasukan utama.

Umum juga mengetahui bahawa pasukan itu telah melepaskan Safawi Rasid dan juga Moussa Sidibe secara pinjaman ke kelab Thailand, Ratchaburi FC untuk musim depan.

Safawi yang merupakan MVP bagi Liga Malaysia sebanyak dua kali juga tidak berada dalam kedudukan selamat di kelab itu, menunjukkan tiada pemain yang tempatnya terjamin dalam pasukan.

Dengan persaingan semakin sengit musim depan, tidak mustahil lebih ramai pemain muda akan mendapat peluang seperti Feroz dan Darylz sekiranya menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka.

Ini juga adalah satu ‘amaran’ buat pemain-pemain utama untuk tidak terus berasa selesa dengan kedudukan mereka dalam pasukan.