Kroni dalam sukan berpisah tiada, punca perkembangan karier atlet terjejas

671

Isu kroni dan pilih kasih telah menjadi budaya kebiasaan dalam sektor sukan di Malaysia sejak sekian lama.

Perkara ini tidak sekadar tertumpu di dalam sukan utama seperti bola sepak dan sebagainya malah ia turut berlaku di kebanyakan sukan.


Lebih menyedihkan ia bermula di peringkat awal dan sedikit sebanyak menjejaskan perkembangan karier atlet atau pemain yang mempunyai bakat.

Terbaru, isu ini telah dibangkitkan menerusi perkongsian Facebook sebuah kelab bola tampar dari Pulau Pinang, Seri Penanti Volleyball Club.

Isu yang dibincangkan adalah sejak beberapa tahun, tidak ramai pemain daripada pasukan yang berjaya menjadi johan mendapat tempat untuk menyertai Program Pembangunan.

Malah, pihak bertanggungjawab lebih cenderung memilih wakil dari pasukan tertentu yang secara dasarnya tidak mempamerkan aksi memberangsangkan sehingga menimbulkan tanda tanya terhadap tahap integriti proses pemilihan yang dijalankan.

Lebih menyedihkan, perkara ini tidak berlaku hanya sekali sahaja bahkan ia terjadi berulang kali sehingga ada pihak yang merasa kecewa dan tawar hati untuk kembali menyertai.

Situasi sebeginilah yang menjejaskan proses pembangunan kesemua sukan di Malaysia tatkala ia telah dicemari dengan begitu teruk di peringkat awal.

Perlu diakui perkara ini sering berlaku di peringkat sekolah melihat kepada perkongsian-perkongsian yang dilakukan sebelum-sebelum ini.

Ada segelintir jurulatih atau guru yang bertanggungjawab memilih seseorang pemain atau atlet berpandukan kepada faktor luaran seperti hubungan atau keakraban mereka.

Perkara-perkara ini tidak sepatutnya menjadi pertimbangan utama sedangkan bakat yang perlu menjadi asas kepada pemilihan seseorang untuk mewakili sekolah, daerah dan negeri.

Pemain-pemain yang jauh lebih berbakat disisihkan demi memenuhi kehendak lain sehingga akhirnya kesemua yang dipilih tidak membuahkan hasil yang diinginkan di kemudian hari.

Ketidakadilan yang berlaku di usia muda menyebabkan kita banyak kehilangan permata yang sebenarnya mampu menyinar dalam sukan yang diceburi.

Selepas berhadapan dengan masalah ini, semestinya hampir semua daripada mereka merasa putus asa dan tidak percaya akan adanya peluang kedua.

Pihak pengurusan badan induk sukan negara termasuk Kementerian Belia dan Sukan perlu memandang serius perkara ini.

Selain memberi fokus kepada membanteras isu rasuah, masalah kronisme juga perlu segera dicantas sebelum ia terus merebak dan menjadi virus besar kepada sukan negara.