Lee Tuck akui tidak kekok, bangga berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya

238

Pemain naturalisasi terbaru negara, Lee Tuck mengakui sangat gembira dengan peluang yang diperolehnya ketika ini.

Beliau juga teruja tersenarai dalam skuad akhir yang bakal menggalas cabaran negara di Piala AFF 2022 bermula dengan aksi bertemu Myanmar pada 21 Disember ini.


“Saya tidak kekok dan berasa sangat bangga mewakili Malaysia, saya cuba menikmati pengalaman ini.

Saya teruja untuk perjalanan ini,”

katanya kepada media.

Pemain kelahiran England tersebut yakin mampu untuk terus berikan sumbangan di tahap yang terbaik meskipun telah mencapai usia 34 tahun ketika ini.

Perkara ini berjaya dibuktikan menerusi aksinya pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini bertemu Kemboja dan Maldives.

Beliau berjaya mencatatkan dua gol daripada dua kemenangan besar yang berjaya diraih oleh pasukan negara pada aksi pemanas badan yang telah berlangsung.

“Umur hanyalah sekadar angka, saya sentiasa menjaga diri saya di dalam dan luar padang.

Saya merasa muda sepertimana pemain yang lain cuma saya perlu lebih bekerja keras dan kekalkan kecergasaan.”

Meskipun baru menyertai skuad negara, Lee Tuck tidak menghadapi kesulitan untuk menemui sentuhan berbisanya.

Taktikal permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon berjaya memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki oleh pemain ini sebagai seorang penyerang.

“Ia sangat hebat, kami sangat agresif ketika menyerang dan ia sangat bersesuaian dengan gaya permainan saya.

Saya ada banyak kebebasan untuk bergerak ke hadapan dan berganding dengan baik bersama pemain yang lain, saya gembira bermain kembali.”

Lee Tuck memasang impian untuk mengekalkan prestasi semasanya untuk menebus semula kehampaan skuad negara di kejohanan ini sejak kali terakhir menjuarai pada tahun 2010 yang lalu.

Khidmat beliau semestinya akan terus ditagih untuk memastikan skuad Malaysia berjaya meraih kemenangan pada perlawanan pertama sekaligus memberi bekalan selesa sebelum menghadapi aksi seterusnya di peringkat kumpulan.

“Saya ingin teruskan apa yang saya lakukan sebelum ini dalam membantu pasukan semampu boleh.

Beri aksi terbaik dan harap kita sebagai satu pasukan dapat kekalkan keputusan yang sama seperti di dua perlawanan sebelum ini,”

ujar beliau kepada Harimau Malaya.