Luke Woodland melengkapkan skuad Sang Penyu

265

Terengganu FC semakin hampir melengkapkan kuota pemain import Aseannya setelah dimaklumkan bahawa Terengganu bakal membawa masuk pemain tengah Filipina iaitu Luke Woodland. Pemain yang sedang beraksi di Liga Thai bersama pasukan Ratchaburi Mitr Phol itu berada dalam fasa terakhir bagi melengkapkan perpindahannya ke Terengganu FC.

Luke Woodland juga mampu beraksi di posisi pertahanan tengah selain posisi asalnya sebagai pemain tengah. Kelibat Luke Woodland bukanlah sesuatu yang asing di dalam kancah Liga Malaysia kerana beliau pernah beraksi untuk pasukan yang baru ditabalkan kejuaraan Piala Malaysia iaitu KL City FC pada tahun 2019.


Sumber Foto : Ratchaburi Mitr Phol Official

Semasa di KL City FC, beliau sempat beraksi sebanyak 16 perlawanan sebelum berhijrah ke kelab Liga Thai, Ratchaburi Mitr Phol. Luke Woodland juga mempunyai 23 kap antarabangsa bersama Filipina tetapi beliau tidak dipilih bersama skuad dalam kejohanan AFF baru-baru ini.

Selain itu, Luke Woodland pernah beraksi untuk skuad bawah 18 tahun England sebelum beliau membuat keputusan untuk mewakili Filipina.

Kehadirannya ke skuad Sang Penyu bakal menguatkan kembali jentera tengah Terengganu FC setelah kehilangan panglima di tengah padang mereka iaitu Dechi Marcel yang berhijrah ke Kedah Darul Aman.

Terengganu FC sebelum ini mengumumkan beberapa kehadiran import yang bakal menguatkan lagi pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan. Antara nama yang telah berjaya ditandatangani ialah Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Pape Diakite.