Kerabat diraja Pahang terus aktif dalam arena sukan tempatan, teruskan legasi Sultan Haji Ahmad Shah

1,044

Penglibatan kerabat diraja dalam bidang sukan di negara ini sememangnya satu perkara yang biasa dan sudah berlaku sejak sekian lama.

Kerabat diraja Pahang boleh dikatakan merupakan keluarga diraja yang mempunyai penglibatan paling aktif dalam sukan, sejak daripada zaman Sultan Haji Ahmad Shah lagi.


Yang terbaru adalah Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail yang merupakan cucu kepada Sultan Haji Ahmad Shah, menceburkan diri dalam sukan badminton dengan menjadi Presiden Persatuan Badminton Pahang sejak Julai lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Tengku Aidy bertekad mahu mengangkat keunggulan skuad badminton di negeri berkenaan, selain melahirkan lebih ramai pemain yang bukan sahaja bertaraf antarabangsa.

Tekadnya itu dilihat berada di landasan yang tepat apabila pasukan lelaki B-12 negeri itu berjaya muncul juara National Interstate Championship 2022 manakala skuad B-12 wanita pula menduduki tangga ketiga baru-baru ini.

Mungkin satu hari nanti akan ada pemain-pemain hebat bertaraf dunia yang lahir dari negeri itu seperti pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing.

Tidak mustahil beliau mampu menjulang sukan badminton satu hari nanti seperti yang dilakukan oleh datuknya dalam bola sepak satu ketika dahulu.

Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah pernah memegang tampuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama dua dekad dengan pelbagai pencapaian termasuk ranking terbaik yang pernah dicapai (79) dan satu-satunya kejayaan Piala AFF yang pernah dimenangi Malaysia.

Selain itu, baginda juga pernah menjadi presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Sumbangannya dalam bidang sukan juga mendapat pengiktirafan daripada badan sukan dunia sehingga dianugerahkan Ikon Kepimpinan Sukan Dunia daripada Pertubuhan Perubatan Sukan dan Senaman Dunia (WSSEM) dan Fellowship Diraja daripada Pertubuhan Antarabangsa bagi Traumatologi Sukan di Tangan (ISSPORTH).

Anaknya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meneruskan legasi yang ditinggalkan olehnya di FAM, mengetuai badan itu pada 2014 hingga 2017.

Al-Sultan Abdullah juga aktif dalam sukan hoki dan pernah menjadi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 2008 hingga 2015.

Baginda pernah menjadi Timbalan Presiden AFC dan Presiden Persekutuan Hoki Asia, selain Ahli Kehormat Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Seorang lagi anak kepada Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Fahd Mua’adzam juga kini aktif dalam bidang futsal, merupakan pemilik Pahang Rangers dan turut terlibat dalam FAM sebagai Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM bagi penggal 2022 hingga 2025.

Tengku Aidy Ahmad Shah juga turut bersama dalam kelab Pahang Rangers, merupakan timbalan presiden bagi kelab itu.

Selain itu, anak Sultan Abdullah, Tengku Hassanal Ibrahim juga dilihat mempunyai minat yang mendalam dalam sukan termasuk polo, ragbi, bola sepak, golf dan menembak.

Tidak mustahil satu hari nanti baginda akan menaymbung legasi datuknya dalam memartabatkan sukan tanah air.