Brendan Gan tiada masalah apabila diminta untuk bermain di posisi pertahanan tengah

1,465

Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan mengakui tidak berdepan sebarang masalah langsung apabila ketua jurulatih Kim Pan-gon mengarahkan beliau untuk beraksi di posisi pertahanan tengah pada perlawanan menentang Laos malam tadi.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF 2022, skuad Harimau Malaya berjaya membelasah Loas 5-0.


“Seperti yang saya cakap semalam, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan sudah menilai setiap pemain yang mana mereka tahu kelebihan dan kelemahan, jadi bila jurulatih minta kami beraksi di sesuatu posisi kami perlu berasa yakin bahawa kami mampu beraksi dengan baik di posisi itu.

Ini kerana mereka (barisan kejurulatihan) sudah membuat analisis sepanjang tahun dan melihat kemampuan kami. Jadi sebaik sahaja KPG suruh saya bermain di posisi pertahanan tengah, saya hanya perlu buat kerja yang disuruh,”

katanya.

Tambah Brendan lagi, setiap pemain yang berada dalam pasukan mempunyai kualiti dan beliau percaya mana-mana pemain jika diletakkan di posisi mana sekali pun mampu melakukan tugas dengan baik sekali.

Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun itu tidak melihat jadual yang padat menjelang pertemuan dengan Vietnam pada 27 Disember ini akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Ini kerana menurut Brendan, skuad negara mempunyai staf-staf yang cukup hebat untuk memastikan setiap pemain cergas seratus peratus sebelum perlawanan.

“Kami akan pergi ke sana untuk mempamerkan aksi terbaik kami menentang pasukan pilihan Vietnam. Ia bukan mudah tapi kami yakin dengan kemampuan kami dan akan memberi cabaran sengit kepada mereka di sana nanti.”