Jadual memang padat, sempat tidur dua tiga jam saja lepas lawan Laos, tapi ini semua untuk negara – Sharul Nazeem

1,255

Pertahanan kebangsaan, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui jadual yang dilalui pada kejohanan Piala AFF ketika ini begitu padat menyebabkan pemain sukar mendapatkan rehat yang cukup.

Sharul yang lebih dikenali sebagai Afro berkata, beliau hanya sempat tidur sekitar tiga jam selepas perlawanan menentang Laos malam tadi kerana terpaksa berlepas ke Hanoi pagi ini.


“Memang agak letih dengan jadual yang padat ini, malam tadi pun hanya sempat tidur dua tiga jam saja kerana lepas perlawanan memang sukar untuk lelapkan mata.

Tetapi kami harus lupakan kepenatan ini kerana kami berjuang untuk negara, kami juga ada sasaran tersendiri untuk kejohanan ini,”

katanya.

Menurut Afro, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan semalam walaupun dikeluarkan pada separuh masa, dan menganggap ia sebagai taktikal daripada ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Dalam pada itu, beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana kesilapannya memberikan sepakan penalti kepada Myanmar pada saat-saat akhir dan berjanji akan belajar daripada kesilapan.

Mengenai kecederaan yang dialami Khuzaimi Piee, beliau mengakui ketiadaan pemain itu menjejaskan sedikit perancangan pasukan namun percaya Pan-gon mempunyai pelan lain untuk mengisi kekosongan itu.

Tambahnya, beliau tidak kisah berpasangan dengan mana-mana pemain di barisan pertahanan tengah kerana keserasian dalam kalangan pemain sudah cukup baik.

“Siapa pun yang bermain menentang Vietnam saya harap dapat berikan 100 peratusuntuk menyekat barisan serangan lawan.

Walaupun Khuzaimi tiada, kami ada pemain lain yang bersedia untuk menggalas tugas beliau.”

Afro mengakui, Vietnam adalah lawan yang sukar dan mereka perlu segera menyesuaikan diri dalam perlawanan tersebut.

Namun beliau menganggap sekiranya semua pemain fokus 90 minit, tidak mustahil untuk menewaskan Vietnam.