Brunei boleh dianggap sebagai pasukan lemah, tetapi kami tetap hormati mereka – Shin Tae-yong

971

Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong tetap menghormati Brunei dan akan memastikan pasukannya turun bersungguh-sungguh pada perlawanan Piala AFF esok walaupun menganggap ia pasukan yang lemah.

Menurutnya, beliau tidak akan memandang rendah Brunei dengan meletakkan sasaran gol dan hanya fokus terhadap persiapan pasukannya.


“Untuk Brunei mereka boleh dianggap pasukan yang lemah kerana mereka layak ke kejohanan ini melalui play-off.

Tetapi kita tetap akan menghormati mereka dan lakukan yang terbaik, saya tidak boleh letakkan sasaran mahu jaringkan berapa banyak gol kerana ia seperti tidak menghormati lawan,”

katanya.

Menurut Tae-yong, beliau kemungkinan besar akan melakukan melakukan beberapa pertukaran dalam barisan kesebelasan utamanya esok.

Beliau berkata, persiapan pasukan ketika ini berada dalam keadaan yang amat baik dan berterima kasih kepada ketua umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan yang menyediakan pesawat khas untuk memudahkan perjalanan ke negara lain bagi kejohanan ini.

Sementara itu, beliau berharap rakyat Indonesia yang berada di Malaysia dapat hadir ke perlawanan esok di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi memberi semangat kepada para pemain.

“Kewajiban pemain adalah untuk tunjukkan prestasi yang baik di atas padang, dan kehadiran penyokong akan amat membantu perkara itu.

Kedua-dua negara ini adalah dekat dan di Malaysia juga ramai penyokong Indonesia, jadi saya amat berterima kasih jika ramai yang datang.”

Mengenai keberadaan Jordi Amat dalam pasukan, beliau berkata, pemain itu sendiri yang menunjukkan keinginan yang tinggi untuk menyertai pasukan.

Katanya, pasukannya telah berkomunikasi dengan pemain itu setahun yang lalu dan beliau mempunyai mentaliti yang tinggi untuk mewakili Indonesia.

Dalam pada itu, beliau tidak merasakan ada persaingan untuk membuktikan siapa jurulatih Korea Selatan terbaik di Asia Tenggara dan merasakan rakan-rakannya di Malaysia dan Vietnam, Kim Pan-gon dan Park Hang-seo semuanya melakukan tugas yang baik.