Mario Rivera percaya Brunei tunjuk peningkatan setiap perlawanan, sasarkan dapatkan mata menentang Indonesia

431

Ketua jurulatih Brunei, Mario Rivera mahu cuba mendapatkan kemenangan ke atas pasukan Indonesia pada perlawanan Piala AFF esok walaupun sedar mereka pasukan yang kuat.

Walaupun sudah tewas dua kali, beliau percaya anak buahnya semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan seterusnya.


“Bagi kami Indonesia adalah pasukan yang sukar kerana level bola sepak mereka bagus, kami akan cuba untuk lawan mereka esok.

Bagi kami semua perlawanan kami bermain untuk menang untuk mengembangkan tahap bola sepak di Brunei,”

katanya.

Menurutnya, sukar buat pasukannya bertanding dalam kejohanan Piala AFF selepas berpuluh-puluh tahun tidak menyertai kejohanan sebesar ini, lebih-lebih lagi memulakan perlawanan menentang juara bertahan, Thailand.

Sementara itu, kapten Brunei, Hendra Azam berkata bolos 10 gol dalam dua perlawanan adalah sukar buat beliau dan rakan-rakan tetapi merasakan mereka telah menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, mereka harus meningkatkan lagi bahagian pertahanan dengan menutup ruang lebih cepat dan lebih kompak.

“Saya lihat para pemain lebih berani ketika menentang Filipina, kami cuma tidak bernasib baik.

Bagi kami satu gol menentang Filipina memberi motivasi tambahan dan kami cuba menekan mereka tetapi kecewa tidak mendapat keputusan yang diinginkan.”

Katanya, fokus pasukan kini adalah pada perlawanan esok untuk cuba mendapatkan sesuatu yang posisif.

Perlawanan antara Brunei dan Indonesia akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pukul 6 petang.