Pemergian Lee Tuck, salah pengurusan atau hanya kerana tamak haloba?

1,616

Pasukan pantai timur, Sri Pahang FC baru sahaja kehilangan salah seorang pemainnya, Andrew Lee Tuck yang telah dilepaskan.

Meskipun tiada pengumuman rasmi dari pihak kelab, perkara ini telah dikongsi sendiri oleh Lee Tuck menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya yang bertarikh 24 Disember lalu.


Pada awalnya, pengumuman yang dilakukan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Sri Pahang yang melihat ia akan menjadi satu kerugian kepada kelab tersebut tatkala pemain ini mempunyai kualiti yang cukup baik di bahagian serangan.

Tambahan pula, Sri Pahang juga yang bertanggungjawab menyelesaikan proses naturalisasi beliau bersama seorang lagi rakannya, Sergio Aguero yang dilihat memakan masa begitu lama sehingga mereka terpaksa terlepas hampir satu musim Liga Malaysia.

Kedua-dua mereka pada ketika ini sedang menggalas tanggungjawab pertama kali bersama skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon di kejohanan Piala AFF tahun ini.

Namun, sejak kebelakangan ini, wujud beberapa perkongsian dari pelbagai sumber yang menyatakan bahawa alasan sebenar pemergian Lee Tuck adalah disebabkan oleh ‘demand’ bayaran yang terlalu tinggi.

Menurut sebuah akaun penyokong Sri Pahang, TokGajah.com, Lee Tuck telah meminta bayaran gaji yang cukup lumayan dengan anggaran RM 78 ribu termasuk elaun.

Mungkin nilai ini dilihat terlalu tinggi melihat kepada faktor umur serta prestasi semasa beliau di peringkat kelab yang kurang menyakinkan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Tidak dinafikan, aksinya bersama pasukan kebangsaan ketika ini cukup memberangsangkan selepas berjaya membantu Harimau Malaya mencapai empat kemenangan berturut-turut sejak beliau dipanggil.

Menurut perkongsian tersebut, selain gaji yang tinggi, beliau juga meminta agar bekas majikannya tersebut menanggung beberapa lagi perbelanjaan lain yang sepatutnya berada di bawah tanggungjawab sendiri pemain.

Antaranya adalah bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta perkara yang lain seperti caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang berjumlah hampir RM 36k kesemuanya sekali.

Sekiranya perkara ini benar, mungkin faktor tanggungan yang cukup besar berjumlah hampir RM 114k sebulan ini yang menyebabkan Sri Pahang atau Lee Tuck sendiri yang membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan.

Situasi ini juga mewujudkan satu lagi spekulasi yang melihat Lee Tuck hanya menggunakan perkara in sebagai sebuah isu yang boleh menyebabkan pasukan Sri Pahang melepaskan beliau untuk menyertai pasukan lain.

Ini kerana, sekiranya difikirkan semula, agak sukar untuk melihat sebuah kelab di Malaysia sanggup untuk mengeluarkan belanja sebesar ini untuk mendapatkan khidmat seorang pemain di pertengahan usia 30an.

Agak ralat untuk penyokong Sri Pahang menerima Lee Tuck dilepaskan begitu sahaja oleh kelab memandangkan mereka telah bertungkus lumus menyelesaikan urusan dokumentasi beliau yang telah memakan masa begitu lama.

Lee Tuck ketika ini dikhabarkan sedang dirisik oleh dua kelab iaitu Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.