Bekas rakan sepasukan Alvaro Morata, Juan Muniz kini dikaitkan ke JDT

1,514

Juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC terus dikaitkan dengan beberapa pemain import bagi memperkuatkan pasukan pada musim hadapan.

Menerusi perkongsian rasmi kelab yang telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Alistair Edwards sebelum ini, JDT dikatakan bakal membawa masuk empat pemain baru bagi tahun 2023 dan tiga daripadanya adalah import.


Terdahulu, mereka telah dikaitkan dengan pemenang Piala Dunia 2022, Papu Gomez yang difahamkan tidak akan lagi bersama kelabnya di Sepanyol, Sevilla meskipun telah beraksi cemerlang membantu Argentina.

Kini, dikhabarkan mereka juga telah dikaitkan dengan seorang lagi pemain iaitu Juan Muniz yang ketika ini beraksi bersama kelab Greece, Atromitos Athen.

Pemain berusia 30 tahun ini merupakan salah seorang daripada ahli skuad B-19 Sepanyol yang telah memenangi Kejuaraan Eropah B-19 2011 yang lalu.

Antara pemain lain yang turut membarisi pasukan tersebut ketika itu adalah penyerang utama Sepanyol ketika ini, Alvaro Morata serta beberapa bintang lain seperti Gerard Deulofeu dan Dani Carvajal.

Muniz merupakan seorang pemain tengah yang juga berkebolehan bermain di bahagian sayap kiri dan kanan.

Sekiranya perpindahan ini berlaku, ia akan memperbanyakkan lagi pemilihan pemain yang mampu diletakkan di pelbagai posisi oleh ketua jurulatih baru pasukan, Esteban Solari bagi mengharungi saingan musim 2023 yang dilihat akan menjadi lebih panjang dan mencabar.

Ia juga akan memperkuatkan lagi bahagian sayap JDT tatkala mereka telah memiliki pemain yang cukup berkualiti seperti Pemain Paling Bernilai, Arif Aiman.

Selepas 14 perlawanan liga yang telah berjalan musim ini, Muniz telah diturunkan sebanyak 11 kali dan telah berjaya mengumpul satu gol ketika membantu pasukannya membenam OFI Crete FC 3-1 pada perlawanan pembukaan musim.

Kelabnya kini berada di tangga ketujuh divisyen pertama Greece dengan 18 mata hasil daripada lima kemenangan serta tiga keputusan seri yang berjaya dicapai.

Pada masa yang sama, beliau juga telah berjaya menyumbat satu gol dalam aksi pusingan kelima Piala Bola Sepak Greece untuk membawa kemenangan kepada pasukannya 3-1 ke atas Asteras Tripolis sebelum terkandas di peringkat 16 terbaik di tangan Olympiacos.

Selain mempunyai pengalaman beraksi di Greece, Muniz juga pernah bermain untuk beberapa kelab di Sepanyolm seperti Sporting Gijon dan Gimnastic.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen