Kim Pan-gon mohon maaf kepada rakyat Malaysia, akui insiden kad merah jejas momentum pasukan

1,948

Ketua jurulatih nergara, Kim Pan-gon memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas kegagalan pasukan negara memperoleh kemenangan pada aksi menentang Vietnam.

Beliau pada masa yang sama turut mengakui kehebatan lawan tersebut yang berjaya menundukkan mereka dengan kemenangan 3-0.


“Tahniah kepada pasukan Vietnam mereka layak untung memenangi perlawanan kerana mereka merupakan sebuah pasukan yang sangat mantap.

Dan maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak mampu membuat anda bangga,”

katanya kepada pihak media.

Dalam pada itu, Pan-gon juga menyatakan kekecewaan beliau di atas situasi yang menimpa pasukan negara pada babak kedua.

Pemain pertahanan, Azam Azmi telah dilayangkan kad merah serta satu sepakan penalti telah dihadiahkan kepada pasukan Vietnam yang kemudiannya disempurnakan oleh Que Ngoc Hai pada minit ke-64 untuk menjarakkan kedudukan.

“Kita memiliki peluang untuk memenangi perlawanan malam ini tetapi ada insiden yang berlaku dan saya perlu membuat analisa kembali untuk melihat apa sebenarnya yang telah terjadi.

Insiden tersebut menyukarkan kami dalam usaha pemain untuk menyamakan kedudukan, jadi saya tidak ada sebarang komen tentang pemain saya.”

Keputusan yang dilakukan oleh pengadil dari Jepun, Ryuji Sato tersebut mencetuskan kontroversi tatkala insiden tersebut berlaku di luar permainan sehinggakan penyokong yang berada di stadium turut keliru dengan perkara tersebut.

Sebagai makluman, Sato merupakan pengadil sama yang telah melakukan keputusan kontroversi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara skuad negara dan Vietnam di Dubai Jun lalu.

Walau bagaimanapun, pasukan negara perlu melupakan apa yang terjadi dan segera bangkit pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Singapura yang juga akan menjadi penentu kepada perjalanan skuad kebangsaan di aksi Piala AFF tahun ini.