AFF perlu lebih cakna isu pengadil, boleh mula pertimbang dapatkan khidmat dari konfederasi luar AFC

1,510

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) perlu menganalisa semula proses pemilihan pengadil yang dipilih untuk mengendalikan perlawanan pada kejohanan Piala AFF yang merupakan salah sebuah kejohanan terbesar di rantau ini.

Hal ini merujuk kepada beberapa isu kontroversi yang telah berlaku pada penganjuran kali ini yang melibatkan pengadil yang telah diberikan tanggungjawab mengadili beberapa perlawanan.


Ini termasuk aksi pasukan negara bertemu Vietnam semalam, yang diadili oleh pengadil dari Jepun, Ryuji Sato.

Terdapat beberapa keputusan yang dilakukan oleh beliau pada perlawanan tersebut mengundang kritikan dan menimbulkan persoalan daripada pemerhati serta peminat bola sepak.

Salah satunya adalah layangan kad merah yang telah diberikan kepada pemain pertahanan muda negara, Azam Azmi Murad pada aksi tersebut sehingga menyebabkan pasukan lawan berjaya memanfaatkan peluang untuk menjarakkan kedudukan dan memenangi perlawanan.

Selain itu, AFF juga perlu lebih sensitif terhadap pemilihan pengadil yang diberi tanggungjawab dalam mengendalikan perlawanan tertentu.

Sebagai contoh, seorang pengadil dari Korea Selatan bernama Kim Hee-gon telah diberikan mandat selaku pengadil utama pada perlawanan di antara Brunei menentang Indonesia.

Tindakan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati tatkala semua sedia maklum bahawa ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong juga berasal dari Korea Selatan.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh ketua jurulatih Brunei, Mario Rivera yang melihat perkara ini sebagai tidak adil kepada dirinya tatkala pasukannya juga telah menerima satu layangan kad pada babak pertama perlawanan sehingga menjejaskan persembahan mereka.

Seharusnya AFF memeriksa semula senarai pengadil yang dimiliki pada ketika ini dan mula menggugurkan mana-mana daripada mereka yang mempunyai sejarah buruk sewaktu mengadili mana-mana pasukan yang bertanding di kejohanan ini.

Terdahulu, Sato terlebih awal dikecam oleh peminat bola sepak Malaysia tatkala beliau juga merupakan orang yang sama telah menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Vietnam sewaktu bertemu skuad negara di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang lalu.

Beliau melakukan keputusan tersebut selepas mendakwa pemain tengah negara, Brendan Gan telah mengasari Que Ngoc Hai di dalam kotak penalti.

Ramai mempersoalkan kepitusan tersebut tatkala ulang tayang menunjukkan bahawa tiada sebarang sentuhan telah dilakukan oleh Brendan pada ketika itu.

Mungkin sudah tiba masanya AFF mula mengambil inisiatif untuk mendapatkan khidmat pengadil-pengadil yang bernaung di bawah persatuan luar daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Badan induk tersebut boleh mempertimbangkan untuk membawa pengadil dari benua lain seperti Amerika Selatan atau Afrika.

Jika hendak membincangkan tentang kos, rasanya perbelanjaan mendapatkan khidmat pengadil dari negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan juga tidak kurang tinggi memandangkan pihak AFF tetap perlu bertanggungjawab menguruskan urusan logistik mereka.

Tambahan pula, ada baiknya jika pihak AFF mengambil keputusan untuk mendapatkan pengadil dari benua-benua ini bagi mewujudkan satu jalinan kerjasama yang mampu memberi manfaat bagi jangka masa yang lebih panjang.