Harap Sunday Afolabi tak pertahankan anugerah Fallon d’Floor musim depan, jika tidak bola sepak Malaysia popular lagi untuk sebab yang salah

1,426

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila pemain import Perak FC, Sunday Afolabi kini bukan lagi menjadi bualan peminat bola sepak di Malaysia tetapi juga peminat di seluruh dunia selepas beliau telah diberi anugerah Fallon d’Floor.

Anugerah itu dianjurkan oleh salah sebuah media terkemuka di England, Daily Mail yang mana anugerah itu diberikan kepada pemain yang melakukan simulasi terburuk (worst dive) – tindakan Afolabi ketika perlawanan Liga Perdana menentang Kelantan FC.


Ketika perlawanan tersebut, Perak sedang mendahului pasukan tuan rumah 2-1 dan insiden tersebut berlaku pada minit ke-85 ketika seorang pemain sedang menerima rawatan di tepi padang, namun yang menjadi perhatian adalah tindakan Afolabi yang secara tiba-tiba menari.

Ketika sedang menari, kelihatan kakinya dipijak oleh pemain Kelantan dan beliau terus jatuh berguling-guling sambil memegang muka dan kakinya sambil menjerit kesakitan.

Tindakan itu dilihat seperti sengaja mahu membuang masa kerana tidak lama kemudian beliau bangun dan meneruskan perlawanan seperti biasa dan akhirnya berjaya membawa pulang tiga mata penuh ke Ipoh.

Walaupun tindakan Afolabi dikecam hebat oleh peminat, namun ramai juga tidak boleh menafikan prestasi cemerlangnya di atas padang, dan disebabkan itu pengurusan kelab mengambil keputusan untuk menyambung kontrak pemain itu selama dua tahun.

Afolabi dijangka akan terus menjadi tonggak utama dalam skuad The Bos Gaurus pada musim hadapan yang mana mereka akan beraksi di Liga Super.

Dalam pada itu, bagi menghadapi saingan liga musim depan, Perak telah membawa masuk ketua jurulatih baru iaitu Lim Teong Kim yang mana beliau diberi tanggungjawab yang cukup besar untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak pasukan itu.

Beberapa video latihan yang dikendalikan oleh Teong Kim telah memberi gambaran bahawa beliau adalah seorang pengendali yang sangat serius dan komited dalam kerjanya dan pastinya beliau akan menuntut setiap pemainnya bukan sahaja mempamerkan aksi terbaik apabila turun beraksi, tetapi juga mempunyai disiplin and etika yang tinggi.

Dengan Afolabi dijangka akan terus memegang lilitan kapten pasukan pada musim hadapan, sudah pasti Teong Kim akan pastikan pemainnya itu tidak lagi akan mengulangi tindakan sama seperti musim ini.

Pasukan Perak adalah pasukan yang akan menjadi tumpuan bukan sahaja peminat Perak, tetapi juga peminat bola sepak seluruh negara kerana mahu melihat kebangkitan pasukan itu selepas hampir terkubur dek masalah kewangan.