Peminat masih menanti respon daripada pemilik kelab, FAM dan MFL terhadap ‘cabaran’ TMJ

8,028

Semalam dunia bola sepak tanah air kecoh di media sosial selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris mengeluarkan satu posting di media sosial miliknya.

Posting yang dimuat naik di Instagram Story milik TMJ itu menyaksikan baginda telah melontarkan cabaran kepada mana-mana pihak yang mempersoal sumbangannya dan JDT kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya dan bola sepak tanah air.


TMJ turut menyenaraikan 10 fakta sumbangan baginda dan JDT termasuk kelab miliknya meminjamkan pusat latihan di Stadium Larkin dan Pasir Gudang untuk tujuan latihan dan perlawanan persahabatan antarabangsa pada 2021.

TMJ juga mengingatkan semula mengenai sumbangan berjumlah RM1.4 juta bagi menukar rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari rumput jenis cow grass kepada jenis Zeon Zoysia yang akan bermula pada Mac 2023.

Pada masa sama, TMJ turut mengingatkan tentang pertolongannya meminjamkan kanvas stadium bagi menjaga kualiti padang SNBJ supaya tidak terjejas dek takungan air apabila hujan ketika skuad negara bakal menghadapi perlawanan-perlawanan penting.

Selain itu, TMJ pernah memberikan sebuah bas rasmi untuk kegunaan skuad negara pada 2017; mengurangkan saman MP Silva terhadap FAM dari RM6.5 juta kepada RM1.4 juta di mana saman tersebut dibayar menggunakan wangnya sendiri.

TMJ juga mendedahkan telah membelanjakan RM12 juta wangnya sendiri untuk melangsaikan segala hutang-hutang lapuk milik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk membangunkan program-program akar umbi FAM.

Ini adalah sebahagian fakta yang didedahkan oleh TMJ sekaligus membidas kritikan ramai terhadapnya dan JDT yang menganaktirikan skuad negara.

Berdasarkan pendedahan TMJ, isu mengenai kualiti padang SNBJ sepatutnya pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana isu tersebut sudah dibangkitkan banyak kali, namun tiada langsung tindakan yang diambil sehinggalah TMJ sendiri tampil memberi sumbangan untuk menukar rumput padang.

Ia adalah sesuatu yang cukup memalukan buat PSM kerana mereka telah mengautkan keuntungan daripada penyewaan stadium untuk pelbagai acara, namun tidak ambil peduli dengan keadaan padang bola sepak, sedangkan satu dunia tahu bahawa SNBJ adalah Home of Harimau Malaya.

Manakala untuk isu membabitkan saman dan hutang FAM pula sememangnya peminat tidak mengetahui kerana ia adalah urusan sulit persatuan itu, dan TMJ berjaya menyelesaikan masalah itu ketika menjawat jawatan sebagai Presiden FAM pada tahun 2017.

Oleh itu, pihak yang layak untuk tampil memberi respon terhadap pendedahan ini hanya boleh dijawab oleh FAM sendiri.

Walaupun badan pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) tidak disebut, namun semua sedia maklum bahawa penubuhan MFL adalah hasil usaha TMJ ketika menjadi Presiden FAM.

TMJ juga mencabar mana-mana pemilik kelab lain yang memberi sumbangan kepada skuad negara dan bola sepak tanah air.

Kemelut yang sedang berlaku ketika ini tidak akan mendatangkan kebaikan kedua-dua pihak kerana ia akan menyebabkan terjadinya situasi kalah-kalah terutamanya skuad negara bakal berdepan kejohanan Piala Asia 2023.

Sebagaimana semua sedia maklum, JDT adalah penyumbang terbesar kepada pemain skuad negara untuk semua lapisan umur.