Kita bukan ‘B team’! Semangat patriotik Mickey menaikkan semula semangat Harimau Malaya!

477

Setelah mengharungi empat perlawanan dengan kemenangan tanpa bolos, rekod cemerlang pasukan kebangsaan Malaysia akhirnya lebur di tangan Vietnam baru-baru ini selepas tewas 3-0 dalam perlawanan Kumpulan B Piala AFF 2022.

Disebalik kekalahan yang mencetuskan kontroversi selepas ramai yang mempertikaikan mutu pengadilan pengadil Jepun, Ryuji Sato, namun kapten pasukan Faisal Halim tidak melihat kekalahan itu meruntuhkan semangat mereka, sebaliknya beliau berbangga dengan semangat juang yang ditampilkan oleh rakan sepasukan.


Malah beliau dalam kenyataan media juga dengan tenang tidak mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh pengadil, pada masa sama turut tidak menyalahkan rakan sepasukan terutamanya Azam Azmi yang dilayakan kad merah.

Beliau berkata apa yang berlaku pada perlawanan tersebut harus di lihat dari sudut positif dan setiap pemain terutamanya pemain muda perlu jadikan ia sebagai pengajaran dan terus bersemangat walaupun pasukan Malaysia ketika ini tidak dipandang oleh sesetengah pihak dan disifatkan sebagai ‘B team’.

Tambahnya lagi, apa yang berlaku adalah lumrah bola sepak kerana apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Kenyataan Faisal tersebut nyata telah memperlihatkan sisi berbeza pemain berusia 24 tahun itu yang tampak sangat matang baik di dalam padang atau di luar padang.

Apa yang dilakukan oleh Faisal boleh disifatkan bagai seorang ‘true leader’, dan tidak mustahil beliau adalah calon terbaik untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang kapten pasukan untuk masa depan terutamanya ketika skuad negara akan menghadapi kejohanan Piala Asia 2023.

Pada masa sama, pemain-pemain negara juga perlu terus tingkatkan prestasi dan tahap profesional mereka apabila turun beraksi dan sentiasa berdisiplin serta tenang dalam apa sahaja situasi yang berlaku.

Ini kerana jika pemain tidak tenang dalam situasi tegang yang membabitkan provokasi, ia bukan sahaja akan merugikan diri sendiri tetapi juga seluruh pasukan.

Pemain-pemain juga harus ingat bahawa mereka tidak berseorangan sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia terutamanya Ekor Harimau Malaya sentiasa berada di belakang mereka sebagai pemain ke-12 walau apa sekali pun keputusan perlawanan.

Sejak skuad negara dikendalikan oleh Kim Pan-gon, banyak perubahan yang berlaku termasuk berjaya mencipta kejayaan mara ke Piala Asia 2023 secara merit selepas beberapa dekad.

Malaysia kini berada pada kedudukan kedua Kumpulan B dengan enam mata selepas tiga perlawanan dan akan menentang Singapura pada perlawanan ‘do-or die’ 3 Januari 2023 ini dan kemenangan ke atas pasukan negara jiran itu akan mengesahkan tempat skuad negara ke peringkat separuh akhir.