Melaka FC dan Sarawak United FC antara 14 pasukan yang sah bersaing dalam Liga M3 2023

1,375

Setelah lama berteka-teki, akhirnya dua pasukan yang beraksi di Liga Super pada musim lalu iaitu Melaka FC dan Sarawak United FC disahkan akan bersaing dalam Liga M3 pada musim 2023.

Terdahulu, Sarawak United FC dan Melaka United FC telah gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada Malaysian Football League (MFL) selepas kedua-dua pasukan itu bergelut dengan masalah tunggakan gaji.


Melaka United yang sebelum ini dibawah Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) telah ditukar kepada Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA) yang mana mereka telah menubuhkan sebuah pasukan baru untuk bersaing di liga amatur.

“Setakat ini 14 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka di Liga M3 2023. Kalau ikut perancangan sebelum ini kita menerima lebih daripada 16 permohonan pasukan untuk beraksi di M3, tapi hari ini kita dedah dahulu 14 pasukan yang akan bersaing,”

ujar Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Bin Mohd Fuad.

Selain Melaka dan Sarawak United, 12 pasukan lain yang akan beraksi adalah PIB FC, Perlis United FC, KL Rovers FC, Harini FT, Imigresen FC, Armed Forces FC, BRM FC, Bukit Tambun FC, Kinabalu Jaguars FC, Manjung City FC, Malaysia University FC dan Naga Ultimate Kuala Selangor FC.

Menurut Raimi, pihak AFL sangat berbesar hati apabila jenama sukan terkemuka tanah air Al-Ikhsan Sports menjalin kerjasama dengan mereka dan sah akan menjadi title sponsor untuk saingan Liga M4 yang akan dikenali dengan nama Al-Ikhsan Cup.

Dalam pada itu, Pengerusi AFL iaitu Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi memberitahu bahawa saingan Liga M3 pada musim depan bukan lagi amatur, sebaliknya ia akan ditukar kepada liga semi-profesional.

“Pertamanya kita melihat bagaimana kitab oleh naik taraf kualiti pertandingan dan begitu juga kualiti pemain, jadi itu sebab bila kita sebut semi-pro, saya mahu setiap pasukan yang bertanding mesti bersedia untuk naik taraf pasukan mereka daripada pemain amatur kepada pemain profesional.”

Tambah Mohd Yusoff lagi, pertukaran liga dari status amatur kepada semi-profesional adalah sebagai persiapan awal setiap pasukan untuk naik ke Liga Super pada musim 2024.

“Mereka kena ingat bahawa Liga M3 musim depan adalah divisyen dua Liga Malaysia pada musim depan, jadi mereka kena bersedia dari segi pengurusan, dari segi pemilihan pemainnya supaya apabila mereka jadi juara atau naib juara nanti, mereka akan layak naik ke Liga Super. Itu kualiti yang kita nak pada liga kita.”

Sementara itu, untuk memartabatkan lagi Liga M3 pada musim depan pihak AFL kini sedang dalam perbincangan dengan pihak penyiaran terkemuka untuk menyiarkan perlawanan Liga M3 musim depan.

Menurut Mohd Yusoff, sekiranya pihak penyiaran besar dalam turut serta bersama mereka ia akan membakar semangat pemain-pemain untuk memberikan aksi terbaik mereka supaya dapat melonjakkan lagi karier bola sepak mereka di peringkat tertinggi.

Saingan Liga M3 akan membuka tirai pada Februari 2023, manakala Liga M4 atau Al-Ikhsan Cup akan bermula pada awal Mei, Liga M5 pula akan bermula pada Februari 2023.