Indonesia patut diharamkan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk beberapa tahun!

1,454

Nampaknya penyokong bola sepak Indonesia masih lagi tidak mengubah sikap mereka apabila terus melakukan tindakan ganas terhadap pasukan pelawat.

Pada perlawanan Kumpulan A Piala AFF 2022 membabitkan pasukan tuan rumah Indonesia menentang Thailand yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno semalam, telah menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.


Pasukan Thailand berdepan situasi getir sebelum perlawanan bermula lagi apabila bas yang mereka naiki telah diserang oleh segerombolan penyokong Sang Garuda dengan membaling batu sehingga menyebabkan bas tersebut mengalami kerosakan.

Tindakan tidak bertamadun penyokong tuan rumah berlanjutan sehingga selepas perlawanan dan memaksa pasukan pelawat menukar bas dan diiringi pasukan keselamatan untuk pulang ke hotel penginapan.

Insiden yang berlaku ini ternyata membuktikan bahawa penyokong Indonesia masih lagi belum insaf dan tidak mengambil pengajaran daripada insiden rusuhan di Stadium Kanjuruhan baru-baru ini yang telah mengorbankan ratusan nyawa.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan pihak Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF) perlu mengambil tindakan tegas kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), malah pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga harus masuk campur kerana perkara ini melibatkan keselamatan penyokong dan juga pasukan.

Sukan bola sepak adalah untuk menyatu padukan seluruh peminat dan bukannya medan pertempuran.

Pasukan Malaysia yang merupakan musuh tradisi Indonesia juga pernah berdepan situasi lebih parah apabila terpaksa menaiki kenderaan tentera Barracuda untuk keluar dari stadium apabila beraksi di sana.

Hukuman yang harus dikenakan kepada Indonesia ketika ini adalah dengan mengharamkan pasukan mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk sekurang-kurangnya setahun atau lebih supaya dapat memberi pengajaran buat seluruh penyokong Indonesia.