V. Ruventhiran tak anggap Nor Hakim Hassan sebagai pesaing dalam skuad Harimau Malaya

434

Pemain baru Selangor FC, V. Ruventhiran tidak melihat Nor Hakim Hassan sebagai pesaingnya dalam merebut posisi di bahagian sayap kiri untuk kelab dan pasukan kebangsaan.

Menurut Ruventhiran, apabila Nor Hakim Hassan turun beraksi beliau akan sentiasa memantau permainan rakan sepasukannya itu untuk menimba ilmu kerana pemain itu lebih senior daripadanya.


“Dia (Nor Hakim Hassan) lebih senior dan berpengalaman daripada saya, jadi apa yang dia buat di atas padang saya akan pantau. Tambahan, beliau juga sering memberi tunjuk ajar kepada saya, jadi ia bukan persaingan bagi saya kerana kami berada dalam pasukan kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022 menentang Singapura yang menyaksikan skuad Harimau Malaya dalam misi wajib menang jika mahu mara ke separuh akhir.

Bercerita lanjut mengenai persiapan skuad negara ketika ini, pemain berusia 21 tahun itu berkata beliau dan rakan sepasukan berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk mempamerkan kemampuan mereka nanti.

Beliau berkata, ketua jurulatih Kim Pan-gon juga menggalakkan beliau untuk bermain secara menyerang dan cuba menjaringkan gol sekiranya mempunyai peluang.

“Ya memang coach galakkan kami untuk menyerang sebanyak mana yang mungkin kerana kita mahu jaringkan gol. Tambahan pula kita bukan pasukan yang bermain secara bertahan.

Untuk perlawanan menentang Singapura nanti, kami mahukan kemenangan besar untuk dapatkan tiga mata penuh.”

Sementara itu, Ruventhiran berkata walaupun mereka akan ghairah melakukan serangan demi serangan, namun mereka tidak akan memandang rendah dengan kemampuan pihak lawan.

Malaysia akan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.