Malaysia pasukan berbeza berbanding ketika tewas Mac lalu, Singapura pula tak banyak perbezaan – Kim Pan-gon

884

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon menyifatkan Malaysia adalah sebuah pasukan yang berbeza berbanding ketika mereka tewas 2-1 kepada Singapura ketika kejohanan FAS Tri-Nations Series Mac lalu.

Beliau bagaimanapun melihat Singapura masih lagi sebuah pasukan yang mengamalkan gaya bola sepak sama seperti kejohanan itu walaupun kini di bawah jurulatih berbeza.


“Bagi saya jika dibandingkan kejohanan Mac lalu dan sekarang tak banyak perbezaan ditunjukkan pasukan Singapura, mereka bermain bola sepak negatif, lebih mementingkan bertahan dan menyerang balas tetapi itu adalah gaya mereka dan kami hormati perkara itu.

Kami pula mempunyai pendekatan yang berbeza sekarang, sentiasa mahu menjadi pasukan yang proaktif, mahu mendominasi perlawanan dan bermain secara bersemangat dan dinamik,”

katanya.

Menurutnya, tekanan ketika ini lebih kurang ketika perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia Jun lalu menentang Bangladesh di mana Malaysia wajib menang untuk layak.

Bagaimanapun, beliau berkata, Singapura mempunyai kelebihan memandangkan mereka hanya perlu seri untuk mara ke pusingan seterusnya.

Pan-gon berharap supaya para penyokong beramai-ramai hadir ke stadium esok dan memberikan sokongan istimewa kepada pasukan Harimau Malaya esok.

“Saya sentiasa dapat rasakan sokongan yang tinggi daripada penyokong tetapi untuk esok, kami perlukan sokongan istimewa daripada mereka.

Kami mahu banggakan mereka dan ukir senyuman di bibir mereka, saya yakin pemain akan tunjukkan semangat yang tinggi esok dengan sokongan penyokong.”

Sementara itu, beliau berkata sukar untuk menilai kekuatan pasukan Singapura berdasarkan perlawanan menentang Vietnam sebelum ini kerana beliau melihat Vietnam tidak mempunyai semangat pada perlawanan itu.

Katanya, esok akan menjadi satu perlawanan yang berbeza dan dengan pendekatan yang baik dan kelebihan bermain di tempat sendiri, beliau percaya Malaysia mampu mengutip tiga mata seterusnya layak ke separuh akhir.