Saya dah cakap kepada rakan-rakan, main di ‘home’ takkan nak bagi Singapura curi mata begitu saja – Faisal Halim

490

Ketua pasukan kebangsaan, Faisal Halim tekad tidak akan membiarkan Singapura mendapatkan mata dengan mudah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan terakhir kumpulan B Piala AFF 2022 esok.

Menurutnya, beliau telah memberitahu rakan-rakan betapa pentingnya perlawanan esok untuk mereka, keluarga dan rakyat Malaysia.


“Saya dah ingatkan kepada rakan-rakan betapa pentingnya perlawanan esok, kita kena bermain bersungguh-sungguh dan tak perlu simpan tenaga.

Kadang-kadang walau kita main bagus pun kita boleh kalah, dan main buruk pula boleh menang, tetapi saya harapkan esok kita dapat tunjukkan permainan yang baik dan menang, kita bermain di home takkan nak bagi mereka mudah dapatkan mata,”

katanya.

Katanya, selepas perlawanan menentang Vietnam, para pemain berasa agak sedih tetapi mood segera berubah selepas dua hari kemudian.

Menurutnya, mereka telah tunjukkan pengorbanan yang tinggi sejak sebulan lalu dengan bekerja walaupun ketika tempoh bercuti, justeru harus menunjukkan permainan yang baik esok.

Faisal berkata, Malaysia telah membuktikan mereka mampu bermain menentang pasukan yang lebih ketika menewaskan Turkmeninstan pada kelayakan Piala Asia Jun lalu, jadi tiada apa yang mustahil buat Harimau Malaya.

“Apabila kita lihat Singapura seri menentang Vietnam kita agak tertekan juga, kita fikir bagaimana kita boleh tewas dan mereka boleh seri tetapi jurulatih sudah terangkan kepada kami.

Masa menentang Turkmenistan dahulu kita dah tunjukkan kita mampu bersaing dengan pasukan yang lebih baik, kita keluar dan menyerang bersungguh-sungguh, dan kita akan tunjukkan sekali lagi esok.”

Beliau bertekad mahu mencatat kemenangan esok sebagai hadiah tahun baharu buat seluruh rakyat Malaysia.

Tambahnya, semua pemain telah mendapatkan rehat yang mencukupi selepas perlawanan menentang Vietnam tempoh hari dan persediaan berada dalam keadaan yang baik.