Kami tahu hanya perlu seri untuk mara, tapi kami tetap akan cari gol – Takayuki Nishigaya

485

Ketua jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya tidak mahu fokus untuk hanya bertahan pada perlawanan Piala AFF menentang Malaysia esok walaupun hanya perlu seri untuk layak ke pusingan seterusnya.

Menurutnya, beliau tetap akan bermain dengan gaya permainan yang sama dan cuba mendapatkan gol untuk memastikan mereka tidak berada dalam tekanan.


“Saya tahu situasi Malaysia mereka perlukan kemenangan untuk layak ke pusingan seterusnya, sudah tentu mereka akan menyerang habis-habisan.

Malaysia juga ada kelebihan bermain di tempat sendiri dan mempunyai rehat yang lebih daripada kami, jadi kami perlu bermain dengan bersungguh-sungguh,”

Beliau juga memuji barisan serangan Malaysia yang disifatkan bagus berdasarkan perlawanan sebelum-sebelum ini.

Sementara itu, beliau mengakui barisan pertahanan Singapura kini semakin baik dan terkejut dengan peningkatan yang mampu ditunjukkan oleh anak-anak buahnya sejak mengambil alih pasukan pada April 2022.

“Saya lihat ada dua sebab peningkatan yang ditunjukkan ini, pertama adalah kerana pemain itu sendiri yang mempunyai motivasi untuk bermain lebih baik.

Kedua adalah disebabkan kejohanan ini, ia adalah satu kejohanan yang besar dan semua orang mahu melakukan yang lebih baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”

Beliau melihat anak-anak buahnya mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan mereka selama ini.