Media Korea Selatan kagum dengan magis KPG, gelar dirinya ‘Pandalf’ dan puji permainan Harimau Malaya

5,352

Kejayaan skuad Harimau Malaya layak ke perlawanan separuh akhir Piala AFF selepas menewaskan Singapura Selasa lalu amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi lalu.

Kredit harus diberikan kepada individu yang menjadi ‘mastermind’ kepada kejayaan itu iaitu ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang berdepan pelbagai cabaran untuk kejohanan ini.


Bermula daripada ramai pemain yang menolak panggilan pada peringkat awal, kemudian terdapat beberapa pemain yang tidak hadir pada sesi latihan pertama, beliau tenang dalam memastikan persiapan skuad negara berada di landasan yang tepat.

Selain itu, beliau juga diuji dengan kecederaan pemain tonggak seperti Khuzaimi Piee sehingga terpaksa menggunakan pemain di posisi lain untuk menjadi ‘back up’ kepada beliau.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, media Korea Selatan, SBS Sports turut memuji jurulatih berusia 54 tahun itu atas ‘magis’ yang beliau tampilkan dengan membawa Malaysia layak ke separuh akhir Piala AFF.

Mereka memuji gaya permainan dan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih itu dan juga sikapnya di tepi padang ketika memberi arahan kepada para pemain.

Mereka turut menggelarnya dengan gelaran ‘Pandalf’, merujuk kepada karakter protagonist dari filem The Lord Of The Rings iaitu Gandalf, seorang yang mempunyai kuasa magik yang hebat.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa perlawanan Malaysia menentang Singapura tempoh hari turut disiarkan di negara itu.

Di Malaysia sendiri, Pan-gon telah mempunyai reputasi yang tinggi selepas berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia 2023, pada Jun lalu.

Walaupun pada awalnya tidak ramai yang meletakkan harapan kepada skuad Piala AFF kali ini kerana kehilangan ramai tonggak utama, namun kebijaksanaannya menggunakan pemain yang ada berjaya mengelakkan Malaysia daripada tersingkir pada peringkat kumpulan buat dua edisi berturut-turut.

Mungkin masih terlalu awal untuk menghamburkan pujian berlebihan buat Pan-gon, tetapi beliau sememangnya layak diberikan kredit atas pencapaian Malaysia sehingga ke hari ini.

Dan peminat pastinya mengharapkan magis beliau akan menjelma sekali lagi pada perlawanan separuh akhir menentang Thailand pada 7 dan 10 Januari ini.

Pan-gon pula akan mengharapkan sokongan padu daripada seluruh peminat sama ada yang hadri ke stadium ataupun tidak untuk terus menjadi ‘pemain ke-12’ buat Harimau Malaya.