Nama panggilan bukan masalah, tumpukan prestasi di atas padang yang paling utama

1,132

Nama panggilan atau nick name kepada pemain bukan lagi sesuatu perkara baru di dalam dunia bola sepak.

Kebanyakan nama panggilan ini kadang kala bukannya datang dari pemain itu sendiri, sebaliknya pemain itu mendapat nama panggilan itu daripada penyokong.


Perkara ini tidak pernah menjadi masalah atau dipersoal oleh mana-mana pihak sebelum ini, malah pihak media juga sering menggunakan nama panggilan pemain dalam tulisan-tulisan mereka.

Namun baru-baru ini, ada pihak yang cuba membangkitkan isu ini dengan mempersoal kredibiliti pengulas sukan yang memanggil nama pemain dengan nama panggilan.

Individu tersebut berpendapat bahawa pengulas perlu menggunakan nama sebenar pemain itu dalam ulasan mereka.

Sejujurnya, isu seperti ini rasanya tak perlu diperbesarkan kerana ia bukan perkara yang akan menjejaskan pemain di atas padang.

Perkara yang patut diberi tumpuan atas prestasi dan fokus pemain apabila beraksi di atas padang sahaja.

Selagi mana panggilan nama itu tidak menjurus kepada pelecehan, body shaming dan kutukan secara langsung, maka ianya bukanlah satu kesalahan.

Sebagai contoh, panggilan ‘Afro’ kepada Sharul Nazeem, ‘Mickey’ kepada Faisal Halim dan ‘The fighter’ kepada Brendan Gan.

Nama panggilan ini tidak sedikit pun menjejaskan permainan mereka ketika beraksi mereka beraksi bersama skuad kebangsaan mahupun kelab masing-masing.

Pemain naturalisasi negara iaitu Muhamadou Sumareh juga diberi gelaran ‘Keli Boy’ berikutan kelincahan beliau menggelecek pemain lawan.

Selain itu juga, pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Shahrul Saad juga mendapat gelaran ‘Badak’ disebabkan kekuatan beliau mengemudi bahagian pertahanan.

Banyak lagi contoh pemain-pemain hebat di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa yang mempunyai ‘nick name’ yang unik dan menarik.

Sebagai contoh, Ronaldo Nazario yang diberikan gelaran ‘The Phenomenon’ kerana karismanya dalam dunia bola sepak.

Bahkan pelumba berbasikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang juga mempunyai nama panggilan ‘The Pocket Rocketman’ atas ketangkasannya mengayuh walaupun bertubuh kecil.

Oleh itu, diharap selepas ini tiada lagi isu-isu remeh seperti ini dibangkitkan kerana selagi nama panggilan itu tidak menjurus kepada penghinaan, ia tidak akan menjadi masalah.