Perjalanan saya dengan Harimau Malaya masih panjang, saya akan sahut semua ‘call up’ lepas ini – Safawi Rasid

977

Pemain Harimau Malaya, Safawi Rasid merasakan perjalanannya bersama pasukan kebangsaan masih jauh walaupun tewas pada separuh akhir Piala AFF setelah tewas kepada Thailand semalam.

Menurutnya, beliau bersedia untuk berkhidmat untuk negara sekiranya dipanggil lagi selepas ini kerana mahu menyumbang sekurang-kurangnya satu kejuaraan untuk Malaysia.


“Saya tak kisah kalau mana-mana jurulatih nak gunakan saya selepas ini, saya akan sahut, tiada masalah.

Saya masih muda dan saya mahu dapatkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan buat Malaysia,”

katanya.

Beliau berkata, tidak kisah sama ada kejohanan bawah umur seperti Sukan SEA atau Sukan Asia, beliau bersedia untuk mewakili negara sekiranya diperlukan.

Sementara itu, beliau menganggap skuad Piala AFF kali ini mempunya masa depan yang cerah, kerana tidak mudah untuk melangkah sehingga ke separuh akhir dengan gabungan pemain muda dan senior.

Menurutnya, melangkah ke separuh akhir adalah satu penghormatan selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada tahun lalu.

“Sampai sekarang pemain masih lagi sedih dengan keputusan semalam tetapi saya katakan kepada mereka kita harus pandang ke hadapan dan perbaiki apa yang perlu.

Selepas ini kami akan buat persediaan untuk ke Piala Asia, bagi saya ini satu platform terbaik bagi memilih pemain untuk ke Piala Asia.”

Menurut Safawi, beliau menyerahkan kepada Kim Pan-gon untuk menilai pemain-pemain skuad ini sama ada layak dikekalkan pada Piala Asia atau tidak.

Dalam pada itu, beliau berkata tidak dapat berehat panjang kerana terpaksa berangkat ke Ratchaburi dalam masa terdekat.