Kinabalu Jaguars FC tunggu tindakan yang akan dikenakan AFL selepas tarik diri dari Liga M3 musim ini, harap dapat kembali ke Liga M3 2024

391

Ketua Pegawai Eksekutif Kinabalu Jaguars FC (KJFC), Adzhar Mohamad memberitahu pihaknya kini sedang menunggu maklum balas dan tindakan daripada pihak Amateur Football League (AFL) susulan penarikan diri mereka dari saingan Liga M3 musim 2023.

Menurut Adzhar, mereka sudah pun menghantar surat rasmi kepada AFL untuk memaklumkan mengenai penarikan diri untuk musim 2023, namun KJFC masih lagi mahu bersaing dalam Liga M3 pada musim 2024 jika diberi peluang.


“Sekarang ini kita perlu tengok pada keputusan AFL terlebih dahulu, bagaimana maklum balas mereka terhadap keputusan KJFC untuk tidak menyertai saingan Liga M3 pada musim ini.

Kita akan tunggu keputusan tindakan yang akan diambil oleh pihak AFL terhadap KJFC nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga menyedari KJFC mungkin berdepan situasi sukar sekiranya mereka kembali menyertai saingan liga anjuran AFL kerana tidak tahu samada mereka boleh kembali beraksi dalam saingan Liga M3 atau perlu beraksi di Liga M4.

Ini kerana untuk bersaing di Liga M4, mereka perlu menjadi pasukan terbaik di Liga M5 supaya boleh dinaikkan ke Liga M4 dan KJFC tidak boleh beraksi di Liga M5 kerana mereka merupakan penganjur Liga M5 di Sabah.

Oleh itu, beliau berkata pihaknya akan menunggu keputusan dari AFL terlebih dahulu sebelum membuat perancangan untuk 2024.

Semalam, KJFC telah mengeluarkan kenyataan media mengejut apabila memaklumkan KJFC menarik diri dari beraksi pada saingan Liga M3 untuk musim 2023 berikutan ketiadaan venue kerana pihak Malaysian Football League (MFL) hanya membenarkan satu venue untuk kegunaan dua pasukan sahaja.

Berikutan itu, Stadium Likas yang digunakan KJFC pada musim lalu kini hanya akan digunakan oleh Sabah FC dan Sabah FC B23 sahaja.

Adzhar mengakui pihaknya sudah mencari venue alternatif tetapi mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielak.

“Kita sudah jumpa satu stadium di Tawau, tapi kami tempoh perjalanan panjang sekitar 10 hingga 12 jam menyebabkan kami ambil keputusan untuk tidak teruskan. Selain jauh, ia juga akan menyebabkan kos pasukan juga akan naik mendadak nanti.”

Dalam pada itu, Adzhar turut menjelaskan mengenai isu kelewatan gaji pemain dan barisan kejurulatihan bukan disebabkan masalah kewangan, sebaliknya ia berpunca daripada penutup akaun untuk tujuan audit.

Malah tunggakan setengah bulan gaji itu sudah pun diselesaikan baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu bahawa kesemua pemain dan barisan kejurulatihan sudah pun ditamatkan kontrak sebaik tamat saingan liga pada September lalu.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik tindakan AFL yang menaik taraf Liga M3 dari amatur kepada semi-profesional.

Bagi saya ia adalah petanda yang cukup baik apabila dari liga amatur kepada liga semi-pro kerana ia dapat mendidik kelab-kelab ini untuk ke arah profesional. Jadi saya harap selepas ini ada pasukan-pasukan dari Liga M3 dapat beraksi di Liga Super nanti.”