Thailand tangguh saingan liga demi pasukan kebangsaan di kejohanan WAFF, mampukah Liga Malaysia buat benda sama?

1,482

Liga Thailand akan ditangguhkan kira-kira dua minggu pada Mac ini bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan yang dijemput untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak WAFF.

Kejohanan yang akan menampilkan beberapa gergasi Asia seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan Iraq itu akan berlangsung pada 20 Mac hingga 2 April ini melibatkan 12 pasukan.


Thailand merupakan salah satu daripada dua pasukan yang dijemput untuk menyertai kejohanan yang dilangsungkan di UAE itu di samping India.

Menurut laporan, penganjur Liga Thailand akan berbincang dengan semua kelab mengenai penjadualan semula itu bagi memastikan pasukan negara dapat beraksi dengan pemain-pemain terbaik.

Ia pastinya bukan satu keputusan yang mudah kerana ketika ini pun liga mereka sedang ditangguh untuk memberi laluan kepada kejohanan Piala AFF.

Sekiranya Malaysia dijemput untuk menyertai pertandingan seperti itu, adakah perkara sama boleh dilakukan oleh penganjur liga, Malaysian Football League (MFL)?

Walaupun jadual liga telah ditetapkan awal, penganjur Liga Thailand sanggup melakukan perubahan demi pasukan kebangsaan mereka.

Satu hari nanti, jika Harimau Malaya mengharungi kejohanan antarabangsa seperti itu, yang ‘mengganggu’ perjalanan liga, diharapkan MFL mampu melakukan perubahan untuk memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan.

Lagipun, Kejohanan Bola Sepak WAFF merupakan satu platform yang baik untuk pasukan Thailand mempersiapkan diri menjelang Piala Asia, jadi pengangguhan liga amatlah wajar.

Kejohanan itu juga diiktiraf sebagai perlawanan Tier 1 kategori A oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bermakna ia boleh menjadi ‘lubuk’ untuk mengumpul mata ranking FIFA.

Thailand berpeluang untuk menentang pasukan-pasukan besar di Asia yang pastinya dapat meningkatkan lagi tahap pasukan itu.

Ini boleh dikatakan sebagai satu ‘pengiktirafan’ oleh WAFF buat Thailand, dan menunukkan skuad Gajah Perang itu berada di satu tahap yang lebih tinggi daripada negara-negara Asia Tenggara lain.

Pada Piala AFF ini, walaupun mereka beraksi tanpa ramai pemain-pemain utama, seperti Chanathip Songkrasin, Supachok Sarachat, Suphanat Mueanta dan Supachai Chaided, ia tidak menghalang pasukan itu untuk mara ke perlawanan akhir.

Sekiranya Thailand berjaya mendakap Piala AFF buat kali ketujuh, ia membuktikan mereka mempunyai ‘squad depth’ yang menggerunkan.

Suphanat yang ketika ini sedang menjalani latihan bersama pasukan Leicester City dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk dipilih menyertai kelab itu.

Beliau sebelum ini telah dihantar ke Leicester bersama empat lagi rakan sepasukannya di Buriram United iaitu Supachai Jaided, Narubadin Weerawatnodom, Rattanakorn Maikami dan Chitiphat Tangklang untuk menjalani latihan selama sebulan.

Selepas tempoh sebulan itu tamat, Suphanat dilaporkan menjadi satu-satunya pemain yang tempoh latihannya dilanjutkan untuk terus kekal di England.

Ia adalah kerana beliau merupakan pemain yang paling menonjol dan mempunyai potensi yang cukup besar.

Tidak mustahil beliau mampu menjadi pemain Thailand pertama yang beraksi dalam liga terkemuka dunia itu.