Biarpun Piala AFF diperlekeh, skuad Harimau Malaya tetap berjaya sumbang mata untuk ranking FIFA

4,568

Kejohanan Piala AFF 2022 telah mencetuskan reaksi negatif dalam segelintir pihak yang mempersoal dan mempertikai kredibiliti kejohanan tersebut berikutan ia berlangsung di luar kalender Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Disebalik pertikaian tersebut, pasukan kebangsaan Malaysia tetap memberi perhatian penuh terhadap kejohanan ini dan ia telah membuahkan hasil apabila skuad negara berjaya mengutip 5.385 mata ranking FIFA.


Berdasarkan ranking semasa, Malaysia ketika ini berada di kedudukan ke-145 dunia dan ranking negara dijangka akan melonjak kepada kedudukan ke-142 dunia.

Kutipan mata pada kejohanan kali ini memperlihatkan peningkatan ketara berbanding edisi lalu yang mana skuad negara mendapat kutipan mata -0.34.

Dalam kejohanan kali ini, perjuangan skuad kendalian Kim Pan-gon berakhir di peringkat separuh akhir selepas tewas 3-1 secara agregat kepada juara bertahan, Thailand.

Biarpun kecewa namun seluruh peminat bola sepak tanah air tetap berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh skuad negara.

Terdahulu, Pan-gon berdepan situasi sukar apabila sebahagian besar pemain yang berada dalam skuad kelayakan Piala Asia 2023 tidak dapat menyertai pasukan untuk kejohanan ini.

Susulan itu, pengendali dari Korea Selatan itu telah memanggil ramai muka baru dalam skuad dan ia telah menghasilkan satu keputusan yang cukup positif apabila Pan-gon kini mempunyai pool players yang lebih besar untuk dipilih ke kejohanan Piala Asia 2023 nanti.

Sementara itu, dengan kutipan mata yang diperoleh pada kejohanan Piala AFF 2022, skuad negara berpeluang untuk layak terus ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.

Pujian juga harus diberikan kepada keseluruhan pemain, barisan kejurulatihan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas usaha berterusan untuk mempertingkatkan kualiti bola sepak negara.