Saya rasa belum habis lagi misi saya untuk KL City FC, saya nak habiskan perjuangan saya dekat sini- Kenny Pallraj

248

Kenny Pallraj mengakui misinya bersama KL City FC masih belum selesai dan akan menggunakan musim 2023 untuk merealisasikan sasarannya bersama kelab itu.

Menurut Kenny, beliau mahu memberikan aksi yang terbaik dalam kesemua kejohanan yang disertai pada musim ini.


Pemain The City Boys itu juga menyatakan hasratnya mahu kekal lama di KL City kerana banyak kejayaan lagi yang ingin dikecapi bersama kelab itu.

“Bagi saya nak duduk dalam satu team bukan untuk setahun dua, saya nak duduk lama, nak buktikan sesuatu dalam pasukan itu.

Saya rasa belum habis lagi misi saya untuk KL City FC, saya nak habiskan perjuangan saya dekat sini.

Ada banyak lagi yang saya rasa benda yang boleh buat dengan pasukan KL dan banyak pencapaian yang kita boleh buat dengan pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Di samping itu, pemain berusia 29 tahun itu turut berterima kasih kepada pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan KL City kerana sentiasa memberi sokongan dan dorongan sepanjang beliau menjalani penggantungan perlawanan hampir dua bulan.

Bukan itu sahaja, Kenny turut berterima kasih kepada keluarga serta rakan sepasukannya yang turut memberi sokongan moral.

Terdahulu, pemain kelahiran Ipoh, Perak itu digantung gara-gara membuat satu kenyataan di media sosial selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super.

 Beliau menyifatkan pengantungan perlawanan itu sebagai satu pengalaman yang sangat bernilai buat dirinya.

“Memang tertekan apabila kita tidak boleh bermain bola dan ia adalah satu pengajaran yang bernilai untuk saya belajar.”

Beliau turut mengakui mendapat banyak kritikan daripada peminat susulan insiden penggantungan tersebut, namun beliau mengambil kritikan tersebut dari sudut yang positif.

Dalam pada itu, Kenny juga mengakui pasukan KL City kini merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah.

Dua tahun kebelakangan ini, KL City telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang di mana mereka berjaya memenangi Piala Malaysia 2021 serta menjadi naib juara Piala AFC 2022.