Tindakan Sergio Aguero dipuji, wajar jadi teladan buat pemain naturalisasi lain

2,808

Sejak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan program naturalisasi untuk skuad kebangsaan, inisiatif itu sering kali dikritik oleh pelbagai pihak termasuk penyokong bola sepak tempatan.

Penyokong menyifatkan pemain yang dipilih untuk dijadikan pemain naturalisasi dilihat tidak cukup bagus pemain dan seperti tangkap muat sahaja.


Hal ini kerana selepas dinaturalisasikan, mereka seperti tidak mempunyai semangat patriotisme dan tidak nampak usaha mereka untuk belajar budaya terutamanya cuba bertutur dalam Bahasa Melayu.

Namun, Sergio Ezequiel Aguero berjaya mengubah persepsi itu ketika beliau mewakili skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2022 baru-baru ini.

Sejurus tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF yang menyaksikan skuad Harimau Malaysia tewas 3-1 secara agregat kepada juara bertahan Thailand, Aguero memuat naik satu posting dalam Bahasa Melayu yang telah menarik perhatian peminat.

Dalam posting tersebut, beliau menyifatkan yang kekalahan dalam separuh akhir kedua itu bukan segalanya kerana akan ada lebih banyak lagi perlawanan pada masa hadapan.

Pemain Sri Pahang FC itu juga menyifatkan komitmen dan usaha yang diberikan oleh pemain, jurulatih dan pengurusan adalah tidak ternilai dan mereka juga sanggup korbankan cuti mereka demi tugasan negara.

Beliau turut berterima kasih kepada penyokong kerana tidak putus-putus memberi sokongan kepada mereka sepanjang kempen Piala AFF kali ini.

Walaupun proses naturalisasi Aguero dan Lee Tuck sebelum ini mendapat kritikan, namun mereka tidak cepat melatah sebaliknya sentiasa memberikan aksi yang cukup cemerlang ketika bersama skuad negara.

Aguero berjaya mencetak dua gol dalam enam penampilannya di Piala AFF.