Mampukah Haziq Kutty Abba, Shahmi Irfan Talaha tandingi reputasi abang mereka dalam kancah bola sepak?

4,149

Penang FC baru sahaja mengumumkan senarai pemain yang akan membarisi skuad B-23 mereka yang akan mengharungi saingan Liga Simpanan untuk musim 2023.

Sebanyak 29 pemain telah diumumkan untuk skuad B-23, namun dua pemain menjadi perhatian peminat iaitu penyerang Ahmad Haziq Kutty Abba dan pemain tengah Nor Shahmi Irfan Talaha yang akan menguatkan skuad B-23 Penang.


Ini kerana semua sedia maklum bahawa kedua-dua pemain ini adalah adik kepada dua pemain terkemuka negara iaitu Syamer Kutty Abba (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Harini FT).

Walaupun Norshahrul sudah menghampiri penghujung karier, namun beliau merupakan antara penyerang prolifik negara yang mempunyai karier yang cukup cemerlang ketika pada puncak kerjayanya.

Manakala, Syamer pula kini berada di puncak kerjaya yang mana beliau merupakan tonggak skuad Harimau Malaya ketika membantu Malaysia layak ke Piala Asia 2023 tahun lalu.

@zachki77 PIALA BELIA 2022 β€’ Penang vs TFC β€’ Percubaan jauh daripada Haziq Kutty Abba.#bolapenang #penang #football ♬ original sound – ZS7

Dengan reputasi besar kedua-dua pemain itu, ia pastinya akan membuatkan kelibat Ahmad Haziq dan Shahmi Irfan menjadi perhatian peminat nanti.

Ahmad Haziq merupakan bekas pemain skuad B-21 Penang yang mana beliau telah membantu pasukannya mara ke peringkat suku akhir Piala Presiden 2022.

Sementara itu, Shahmi Irfan pula musim lalu beraksi bersama skuad B-21 Kelantan United FC dan turut menjadi watak penting dalam membantu skuad itu mara ke peringkat suku akhir Piala Presiden 2022.

Disebalik keterujaan peminat, pastinya kedua-dua pemain ini merasai sedikit tekanan berikutan perlu menanggung beban berat dari reputasi abang mereka.

Bagaimanapun, diharap kedua-dua pemain ini tidak akan terlalu memikirkan tentang perkara itu dan fokus pada kerjaya sendiri sekaligus mencipta nama menerusi hasil kerja keras mereka sendiri.

Apa pun kita lihat sahaja nanti prestasi kedua-dua pemain ini apabila saingan Liga Simpanan membuka tirai.

Semoga berjaya buat Ahmad Haziq dan Shahmi Irfan.