Mungkinkah jadual Liga Malaysia 2024 akan dianjak bagi beri laluan untuk Piala Asia 2023?

1,061

Tarikh kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar masih lagi menjadi tanda tanya berikutan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) masih belum memutuskan tarikh kejohanan itu.

Bagaimanapun kedua-dua badan induk bola sepak itu akan mengadakan satu mesyuarat pada awal Februari ini bagi membincang sekaligus menetapkan tarikh kejohanan berprestij Asia itu.


Dalam satu kenyataan daripada Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John, beliau telah memberi bayangan bahawa kejohanan tersebut mungkin akan berlangsung pada Januari 2024.

Jika tarikh kejohanan itu ditetapkan pada Januari 2024, ia pastinya akan mengganggu persiapan pasukan Liga Malaysia yang kebiasaannya akan membuka tirai pada penghujung Februari.

Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) iaitu Stuart Ramalingam sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa pihak MFL akan mengatur jadual saingan liga mengikut kalendar pasukan kebangsaan.

Ini kerana MFL akan sentiasa memberi keutamaan kepada skuad Harimau Malaya, jadi jadual saingan Liga Malaysia 2024 berkemungkinan besar akan dianjak ke bulan Mac atau pun April.

Anjakan jadual liga itu perlu dilakukan bagi mengelak pemain-pemain yang dipanggil untuk tugasan negara tidak berdepan situasi burnout kerana tidak mempunyai rehat yang secukupnya berikutan saingan Liga Malaysia hanya akan berakhir pada hujung tahun.

Walaupun kejohanan ini berada dalam kalender Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun jika tiada perubahan jadual liga dilakukan ia berkemungkinan besar akan menyebabkan ada kelab yang keberatan untuk melepaskan pemain dek bimbang pemain mengalami kecederaan atau pun tidak cergas.

Tambahan pula, bulan Januari adalah waktu kelab-kelab sibuk untuk menandatangani pemain-pemain baru termasuk menjalani latihan pra-musim untuk persiapan bagi menghadapi saingan liga.

Diharap pihak MFL dapat melakukan persiapan lebih awal mengenai jadual Liga Malaysia untuk musim 2024 sebaik sahaja tarikh kejohanan Piala Asia diumumkan nanti bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.