Mampukah Sabah FC terus konsisten tanpa kelibat Bung Moktar?

495

Peminat bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pengumuman Datuk Seri Bung Moktar Radin meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Perkara ini sangat membimbangkan peminat Sabah FC kerana ianya terjadi sebelum saingan Liga Malaysia membuka tiranya untuk musim 2023.


Walaupun kenyataan daripada Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan menegaskan bahawa peletakan jawatan Bung Moktar tidak akan menjejaskan persiapan skuad The Rhinos itu, malah mereka kekal komited mempersiapkan pasukan menjelang saingan Liga Super 2023 tidak lama lagi.

Namun penjelasan daripada Dr Jelani Hamdan masih lagi belum memuaskan hati peminat kerana masih banyak lagi persoalan yang timbul.

Antaranya persoalan utama adalah berkaitan dengan kantung pasukan dan hala tuju pasukan untuk mengharungi saingan liga pada musim ini.

Peminat juga bimbang jika perkara yang berlaku akan menjejaskan suasana dalam bilik persalinan di mana ia mampu memberi kesan kepada persiapan pra-musim mereka sekaligus akan menjejaskan prestasi pemain apabila turun beraksi kelak.

Selepas mengharungi musim yang cukup memberangsangkan, peminat sudah pasti akan menuntut Sabah untuk terus konsisten kerana pada musim 2023 ini skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bukan sahaja akan beraksi dalam saingan domestik, tetapi juga akan menghadapi kejohanan Piala AFC.

Ketiadaan figura penting dalam skuad Sabah pastinya akan dirasai kerana beliau merupakan watak penting dalam kejayaan pasukan itu musim lalu.

Musim 2022 menyaksikan Sabah berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga di belakang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Selain itu, mereka juga berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan Piala Malaysia.

Kejayaan menduduki tangga ketiga telah menyaksikan pasukan itu akan mewakili Malaysia di pentas Piala AFC nanti.

Kali terakhir Sabah beraksi di pentas Asia adalah pada tahun 1995 di kejohanan Asian Cup Winners Cup.