Pemain Malaysia ‘tak laku’ di J-League, bakat Thailand, Vietnam dan Indonesia lebih dipandang tinggi

3,551

Kualiti J-League sememangnya tidak boleh dinafikan lagi kerana liga tersebut merupakan antara liga terbaik di rantau Asia.

Tahap kompetitif liga tersebut turut menjadi tarikan pemain dari pelbagai negara termasuklah rantau Asia Tenggara (ASEAN).


Sejak 10 tahun lalu, seramai 33 pemain rantau ASEAN pernah beraksi di liga tersebut dengan pemain paling banyak adalah daripada Thailand iaitu sebanyak 14 pemain, diikuti Vietnam (9), Indonesia (4), Malaysia (2), Filipina (2) Singapura (1) dan Kemboja (1).

Dua pemain tempatan yang pernah berkelana di negara Matahari Terbit itu adalah Hadi Fayyadh dan Wan Zack Haikal.

Meskipun mempunyai dua pemain yang pernah beraksi di J-League tetapi tidak ada di antara mereka yang berjaya menempa nama.

Hadi Fayyadh yang kini beraksi bersama kelab Azul Claro Numaz di J3 League masih belum berjaya membuktikan keupayaan sebenar beliau.

Sepanjang bersama kelab tersebut beliau hanya beraksi sebanyak tiga kali, itu pun masuk sebagai pemain gantian.

Manakala, Wan Zack Haikal pula juga pernah beraksi di J3 League bersama kelab FC Ryukyu dan turut menerima nasib yang sama apabila beliau hanya berpeluang bermain dalam dua perlawanan sahaja sebagai pemain gantian.

Ini berbeza jika nak dibandingkan dengan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin yang bermain di J1 League dengan telah beraksi sebanyak 131 perlawanan sejak mula bermain di sana pada tahun 2017.

Selain daripada Chanathip, pemain seperti Theerathon Bunmathan dan Teerasil Dangda juga berjaya mencipta nama apabila beraksi di sana.

Selain itu, pemain dari negara tersebut juga sering mendapat tawaran dari negara Eropah.

Ini membuktikan kelab-kelab di luar negara sememangnya memandang tinggi bakat daripada Thailand berbanding Malaysia.  

Situasi ini juga memperlihatkan kualiti antara pemain Malaysia dengan pemain dari negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia sudah jauh ketinggalan.

Bagi memastikan kualiti pemain Malaysia meningkat, mereka perlu bekerja dengan lebih keras lagi dan sentiasa mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dengan berkelana ke luar negara bagi menimba pengalaman baru dan bermain dalam liga tahap lebih tinggi.

Usah jadikan soal gaji tidak lumayan menjadi alasan utama pemain tidak mahu berhijrah ke luar negara kerana ia bukan sahaja merugikan pemain itu sendiri, tetapi juga merugikan negara.

Diharap lebih ramai lagi pemain tempatan bersikap seperti seorang pemain bola profesional yang sentiasa dahagakan kejayaan di tahap tertinggi.