Hukuman batal lesen jurulatih bola tampar bukan jalan penyelesaian

581

Awal bulan lalu, dunia sukan negara dikejutkan dengan video tular yang memaparkan jurulatih skuad bola tampar remaja perempuan B-14 Melaka yang menampar pemainnya pada Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 yang berlangsung di Johor pada 16 Disember 2022 lepas.

Setelah beberapa minggu isu ini tular, nasib jurulatih bola tampar itu akhirnya diketahui juga apabila lesen beliau telah ditarik dan tidak lagi dibenarkan untuk melatih.


Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu sidang media menyatakan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) senada dalam membatalkan lesen jurulatih tersebut.

Susulan hukuman yang dikenakan terhadap jurulatih tersebut, ia telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang ada mempersoalkan hukuman itu yang disifatkan terlalu keras dan keterlaluan kerana perkara itu boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu ‘korbankan’ karier guru itu sebagai jurulatih bola tampar.

Ramai yang berpendapat hukuman yang sewajarnya dikenakan kepada cukup sekadar menggantung lesen jurulatih itu untuk satu tempoh termasuk perlu menjalani tempoh percubaan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa insiden yang tular telah menjadikan isu tersebut menjadi lebih besar dari sepatutnya.

Bukan hendak menegakkan benang yang basah kerana budaya seperti ini sepatutnya dihapuskan terus dari dunia sukan, tapi untuk mengenakan hukuman yang cukup keras seperti ini sepatutnya tidak berlaku.

Insiden yang berlaku ini boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat semua supaya insiden saya tidak lagi berulang.

Dalam pada itu, usaha KBS yang mahu bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan kesemua jurulatih di sekolah menjadi sebahagian dalam Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).

Profesionalism ini akan dapat membantu meningkatkan lagi mutu kejurulatihan dengan berbekalkan modul, kurikulum, pengetahuan dan pelaksanaan yang dapat membawa  kualiti yang maksimum dalam apa jua bidang sukan.

Sebelum ini, jurulatih yang memegang Sijil Kejurulatihan Bola Tampar (Khusus Sukan) tahap 1 telah tampil memohon maaf diatas perbuatannya dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi.

Malah ibu bapa pelajar yang terlibat juga sudah memaafkan selepas jurulatih itu telah bertemu dan membuat permohonan maaf.