Anugerah FIFA The Best Fan Award, penyokong Jepun calon terbaik untuk rangkul anugerah itu

153

Piala Dunia 2022 Qatar telah pun melabuhkan tirainya pada Disember lalu dengan pasukan Argentina telah menjuarai trofi tersebut buat kali ketiga.

Namun, kehangatan Piala Dunia masih lagi dapat dirasai dengan terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), telah menganjurkan satu anugerah iaitu The Best FIFA Fan Award untuk memilih penyokong terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung.


Sebanyak tiga pencalonan telah diumumkan oleh badan induk bola sepak dunia itu dengan dua pencalonan adalah dari benua Asia iaitu Jepun dan Arab Saudi, manakala satu lagi pencalonan datang dari Argentina.

Anugerah tersebut merupakan salah satu inisiatif FIFA untuk mengiktiraf penyokong bola sepak dari serata dunia dan telah ianya diadakan sejak dari tahun 2016.

Berdasarkan daripada tiga pencalonan, anugerah tersebut rasanya lebih layak diberikan kepada penyokong Jepun kerana sikap mereka yang berdisiplin dan pembersih.

Penyokong Jepun terkenal dengan mentaliti kelas pertama mereka apabila membantu membersihkan stadium dengan mengutip sampah selepas tamat perlawanan.

Tindakan tersebut bukanlah satu tindakan yang asing buat penyokong dari Matahari Terbit itu kerana kemana sahaja mereka pergi, mereka akan lakukan tindakan yang sama.

Apa yang dilakukan oleh mereka telah membuatkan peminat bola sepak di seluruh dunia kagum.

Selain penyokong, mentaliti sama turut ada pada pasukan The Samurai Blue apabila mereka akan membersihkan bilik persalinan selepas tamat perlawanan dan perkara ini juga dapat liputan luas daripada media seluruh dunia.

Dalam pada itu,satu lagi pencalonan daripada Asia ialah dari Arab Saudi di mana seorang penyokong Abdullah Al Salmi telah berjalan kaki merentasi padang pasir selama 55 hari untuk memberi sokongan kepada skuad Arab Saudi.

Pencalonan terakhir datang dari Argentina di mana sejumlah besar peminat mereka hadir ke Qatar untuk memberikan sokongan kepada skuad La Albiceleste.

Undian anugerah penyokong terbaik ini sedang berlangsung dan pemenang akan diumumkan pada Februari 2023, jadi jangan ketinggalan untuk mengundi calon pilihan anda.

Sementara itu, tindakan ini turut mula diikuti oleh segelintir penyokong bola sepak Malaysia di mana penyokong Harimau Malaya turut berbuat demikian ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini.

Semoga selepas ini lebih ramai  rakyat Malaysia akan mula mengikuti tindakan penyokong Jepun ini agar kebersihan stadium akan terus terpelihara.