Astro bakal jadi rakan penyiar Unifi untuk saingan Liga Malaysia 2023?

971

Saingan Liga Malaysia 2023 bakal membuka tirainya tidak lama lagi dan ia telah pun mencetuskan keterujaan di kalangan peminat bola sepak tanah air.

Musim 2022 boleh dikatakan musim yang cukup baik buat peminat kerana mereka dapat menonton kesemua perlawanan Liga Super dan Liga Perdana secara percuma di saluran YouTube Unifi dan juga di saluran televisyen RTM yang merupakan rakan penyiar.


Bagaimanapun untuk musim ini, dikhabarkan saluran televisyen berbayar Astro akan kembali menjadi penyiar liga tempatan, namun perkara itu masih lagi belum pasti kerana tiada sebarang pengumuman atau pengesahan dari pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL).

Namun jika khabar angin itu benar, persoalannya kini adalah adakan Astro akan menjadi penyiar rasmi yang memegang hak kesemua perlawanan atau hanya sekadar rakan penyiar seperti RTM musim lalu?

Jika sebagai rakan penyiar, adakah RTM juga akan menjadi rakan penyiar? Adakah peminat masih boleh menonton kesemua perlawanan di saluran YouTube Unifi?

Terdahulu ketika temubual Harimau Malaya bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL iaitu Stuart Ramalingam, beliau telah mengesahkan bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan Telekom Malaysia (Unifi) sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia.

Sekiranya Unifi kekal sebagai penyiar rasmi, maka Astro berkemungkinan besar akan menjadi rakan penyiar yang hanya akan menyiarkan perlawanan tumpuan.

Tidak relevan untuk Astro mendapat hak untuk menyiarkan perlawanan tumpuan secara eksklusif kerana tidak semua peminat mempunyai akses saluran berbayar itu.

Jadi adalah lebih baik jika Unifi akan terus menyiarkan kesemua perlawanan di saluran YouTube dengan stesen televisyen seperti Astro dan RTM boleh memilih untuk menyiarkan perlawanan tumpuan seperti yang dilakukan RTM musim lalu.

Apa pun kita nantikan pengumuman rasmi dari pihak MFL dalam masa terdekat ini mengenai perkara ini.

Tugas kita sebagai penyokong adalah untuk terus memberi sokongan kepada Liga Malaysia supaya liga tempatan menjadi lebih meriah.