Di Korea Selatan semua dilakukan dengan profesional, sejak mereka mula ‘approach’ saya lagi – Kogileswaran Raj

2,074

Pemain baharu Chungbuk Cheongju, Kogileswaran Raj mendedahkan beliau tertarik dengan tahap profesionalisme yang diterapkan oleh pasukan di Korea Selatan walaupun di divisyen dua.

Menurutnya, segala proses perpindahan ke kelab itu yang dilaluinya dilakukan dengan sangat profesional daripada saat kelab itu menyatakan minat lagi.


“Apa yang saya tertarik adalah mereka amat profesional dari awal lagi, cara mereka hubungi saya, ujian kecergasan, tawaran kontrak dan juga cara berkomunikasi.

Sebenarnya ada beberapa kelab Korea Selatan lain juga yang tunjukkan minat, pencari bakat tonton video permainan saya ketika di PJ City FC dan pasukan kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Kogileswaran, beliau telah dihubungi oleh kelab itu sejak dari September tahun lalu lagi.

Beliau sangat teruja kerana salah satu impiannya ketika kecil, iaitu untuk bermain di luar negara, kini akan tercapai.

Tambahnya, tahap bola sepak di negara itu sememangnya tinggi dan mementingkan intensiti yang tinggi, justeru percaya ia akan membantunya untuk meningkatkan tahap permainan sendiri.

“Saya rasa saya boleh naikkan tahap bola sepak saya untuk menjadi pemain yang lebih bagus pada masa depan.

Saya lihat sesi latihan mereka juga memang berintensiti tinggi, jadi ini pasti satu cabaran buat saya untuk bersaing mendapatkan tempat dalam pasukan.”

Menurutnya, buat masa ini beliau masih belum menyertai sesi latihan pasukan kerana masih belum pulih dari perjalanan yang panjang.

Jelasnya, beliau pada mulanya terbang ke Korea Selatan terlebih dahulu untuk menandatangani kontrak, sebelum terbang ke Thailand pula bagi menyertai pasukan yang mengadakan sesi latihan pramusim di situ.