Saya dah lima tahun di Terengganu FC, tiba masa berbakti di negeri sendiri bersama Kelantan United – Tengku Hazman Raja Hassan

747

Penolong jurulatih Kelantan United FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui beliau tertarik untuk berpindah dari Terengganu FC selepas lima tahun untuk menabur bakti di negeri kelahirannya.

Katanya, beliau telah mempelajari banyak perkara di Terengganu dan tiba masanya ilmu itu dikongsikan di Kelantan United pula.


“Dalam mana-mana pasukan pasti kita akan dapat mempelajari benda baru dan setakat ini saya lihat banyak perkara yang positif di Kelantan United.

Saya dah lima tahun di Terengganu, saya teringin nak berbakti kepada negeri sendiri, ketika saya menjadi pemain saya hanya sempat bermian setahun sahaja di Kelantan dan juga setahun sebagai jurulatih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tengku Hazman berkata, gabungan pemain berpengalaman dan muda di kelab itu adalah satu perkara yang baik dan berharap mereka mampu menunjukkan prestasi cemerlang.

Beliau mengakui jika dibandingkan dengan Terengganu yang mempunyai fasiliti yang lebih baik, Kelantan United memang tidak dapat menyaingi perkara itu tetapi bersedia menyahut cabaran itu.

“Saya lihat perkembangan pasukan ini jika dibandingkan dengan tahun lepas memang agak memberangsangkan.

Di sini ada kombinasi pemain muda dan senior yang baik jadi saya harap semua pemain mengambil peluang yang diberikan.”

Sementara itu, beliau mengakui mempunyai hasrat untuk berkhidmat sebagai ketua jurulatih pula selepas ini.

Katanya, beliau bagaimanapun harus melengkapkan kursus lesen profesional terlebih dahulu yang dijangka berakhir pada bulan Mei ini.