Kemiskinan bukan penghalang, semangat pemain Zambia perlu dicontohi

532

Kebiasaanya anugerah Pemain Terbaik Bulanan (POTM) akan diberi sebuah plak atau trofi kepada pemenang.

Namun, situasi berbeza yang berlaku di Zambia Super League apabila pemenang anugerah tersebut iaitu Kennedy Musonda yang beraksi untuk Power Dunamos hanya menerima lima sarang telur setelah dinobat POTM.


Perkara itu jelas menunjukkan keadaan liga Zambia yang serba kekurangan dan daif.

Walaupun beraksi dalam keadaan serba kekurangan namun, ianya tidak menggambarkan semangat yang ada pada pemain-pemain negara Afrika itu.

Buktinya ramai pemain-pemain daripada negara itu berjaya beraksi di liga-liga besar di Eropah seperti England, Italy dan Scotland.

Antara pemain-pemain mereka yang berjaya menempa nama di Eropah ialah Patson Daka (Leicester City FC), Lameck Banda (U.S. Lecce), Fashion Sakala (Rangers FC) dan Enock Mwepu (Brighton & Hove Albion F.C.).

Walaubagaimanapun, Mwepu terpaksa bersara di usia yang muda iaitu 25 tahun kerana mempunyai masalah jantung.

Pemain-pemain Zambia berjaya membuktikan walaupun pembangunan bola sepak tidak semaju seperti di negara lain, tetapi mereka masih mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia.

Semangat serta keinginan yang mereka tunjukkan untuk berjaya sememangnya berkelas dunia.

Satu lagi negara Afrika yang boleh dijadikan contoh ialah pasukan kebangsaan Maghribi di mana mereka telah menampilkan aksi yang cukup menakjubkan sepanjang kempen Piala Dunia Qatar 2022 sehingga mereka berjaya mendapat tempat keempat.

Dalam pada itu, pemain-pemain Malaysia wajar mencontohi sikap yang ada pada pemain Zambia ini kerana disebalik kekurangan yang mereka hadapi, mereka masih mempunyai keinginan untuk berjaya.

Pemain-pemain negara boleh dikira bertuah kerana mereka mempunyai kelengkapan asas yang agak baik serta turut menerima layanan yang baik daripada ramai pihak termasuklah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL).

Oleh itu, pemain negara haruslah menunjukkan keinginan yang tinggi dengan sentiasa memperbaiki mutu permainan mereka dan juga berani keluar dari zon selesa untuk mencabar diri beraksi di liga luar agar perkembangan karier mereka lebih bagus.