Pemain Persis Solo akui bola sepak Indonesia semakin ‘rosak’!

1,717

Bola sepak perlukan peminat dan peminat perlukan bola sepak. Indonesia merupakan antara negara yang mempunyai peminat bola sepak paling banyak di dunia dengan jumlah purata peminat hadir ke setiap perlawanan mencecah puluhan ribu.

Tapi apa gunanya sekiranya peminat tersebut adalah peminat itu sendiri bersikap ekstrim. Itulah yang berlaku di sana dan tidak boleh dinafikan sikap ekstrim peminat bola sepak di sana sememangnya terkenal di seluruh dunia.


Belum pun reda dengan tragedi maut di Stadium Kanjuruhan yang mengorbankan ratusan nyawa, peminat seakan-akan tidak serik dan terus bersikap ganas dengan terbaru menyerang bas pasukan Persis Solo dengan membaling batu pada bas pasukan itu telah menyebabkan berlakunya kecederaan.

Insiden itu membuatkan pemain kelab itu iaitu Abduh Lestaluhu berang dan mengecam tindakan ganas peminat-peminat tersebut.

Beliau turut meluahkan kekecewaannya itu dengan berkata bola sepak di Indonesia sudah rosak.

Abduh bukan sahaja merujuk kepada sikap peminat sahaja, tetapi juga mengkritik liga bola sepak Indonesia dan kualiti pengadilan yang teruk.

Dalam pada itu, selain insiden babitkan Persis Solo, satu lagi insiden telah tercetus iaitu sekumpulan peminat Arema FC mengamuk dan merosakkan pejabat kelab tersebut selepas didakwa seperti tidak serius dalam menangani insiden yang berlaku sebelum ini.

Apa yang membuatkan peminat berang apabila melihat kelab tersebut masih lagi terus beraksi dalam saingan liga tanpa sebarang hukuman berat dikenakan kepada mereka.

Ketika ini kelab tersebut telah dilarang dari beraksi di tempat sendiri oleh Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

Sementara itu, pihak pengurusan pula memberitahu mereka kini sedang berusaha untuk memulihkan semula kelab tersebut termasuk membuka pusat krisis bagi membantu mangsa.

Mereka juga sudah bersedia untuk berdepan tindakan undang-undang bagi memastikan kelab tersebut terus kekal beraksi di Liga 1 Indonesia.

Malah, pengurusan juga sudah mula mempertimbangkan untuk membubarkan Arema sekiranya itu adalah jalan terbaik.

Apa yang berlaku di Indonesia boleh dijadikan sebagai pengajaran buat peminat bola sepak di Malaysia khususnya kerana insiden rusuhan, pergaduhan juga pernah berlaku dalam saingan Liga Malaysia, cuma keganasan yang dilakukan tidak ekstrim seperti peminat di negara jiran.

Diharap peminat akan bersikap lebih profesional supaya setiap lapisan masyarakat tidak kira yang muda atau tua dapat menikmati sukan bola sepak tanpa perlu bimbang akan keselamatan diri apabila ke stadium.