Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin harus kekal bersama jika ingin layak ke Olimpik – Roslin Hashim

433

Baru-baru ini pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin telah mengejutkan dunia badminton apabila mereka mengumumkan perpisahan mereka berikutan tiada lagi persefahaman.

Susulan itu, ramai peminat badminton negara meluahkan kebimbangan mereka kerana beregu ini dicanang sebagai kedua yang mampu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.


Bukan setakat peminat sahaja, bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim turut menyatakan kerisauannya apabila mereka mengambil keputusan untuk berpisah.

Beliau berkata amat sayang untuk melihat senario itu berlaku kerana mereka kini berada di ranking ke -11 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan berada di landasan tepat untuk layak ke Olimpik Paris.

“Saya agak runsing apabila mereka memutuskan untuk berpisah kerana sayanglah mereka sudah berada di ranking ke-11 dunia.

Kalau mereka berdua nak layak ke Olimpik mereka kena kekal sebagai satu pasangan kerana ia lebih mudah untuk mereka layak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, Roslin turut berkata yang mereka berdua sukar untuk layak ke Olimpik jika bermain dengan pasangan baru kerana mereka perlu mengumpul mata ranking terlebih dahulu.

Tambahnya, mereka perlu bermula dari bawah dengan menyertai kejohanan cabaran antarabangsa dan tidak boleh menyertai Jelajah Dunia BWF Super 100 ke atas kerana ranking mereka tidak cukup.

Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan mampu untuk kumpul mata kelayakan Olimpik yang cukup kerana hanya boleh sertai kejohanan kecil sahaja.

“Jika Izzuddin berpasangan dengan Haikal Nazri sekalipun mereka tidak akan mempunyai ranking yang cukup untuk sertai kejohanan besar yang menawarkan mata yang tinggi.

Mereka kena bermula dari bawah dan tempoh masa juga agak singkat untuk mereka mengejar mata ranking.”

Dalam pada itu, Roslin turut berkongsi yang beliau juga pernah bermain dalam acara beregu pada tahun 1992 sebelum kembali beralih kepada acara perseorangan.

Beliau turut berkata, yang beliau mengambil keputusan untuk tidak bermain beregu kerana tidak mempunyai keselesaan ketika bermain acara itu.

Selain itu, Roslin juga berkata yang beliau tidak mengetahui punca sebenar di sebalik perpisahan Sze Fei dan Izzuddin.