Tiada lagi ‘live’ di Unifi dan YouTube; Astro dan RTM penyiar rasmi Liga Malaysia 2023, bagaimana dengan pembahagian perlawanan?

1,311

Setelah beberapa ketika menjadi teka-teki, Malaysian Football League (MFL) akhirnya mengumumkan rakan penyiar rasmi untuk Liga Malaysia musim 2023 iaitu Astro dan juga RTM.

Menurut MFL, Astro akan menyiarkan kesemua perlawanan Liga Malaysia, manakala RTM pula akan menyiarkan 75 perlawanan, kedua-duanya di televisyen dan juga penrtriman langsung atas talian.


Musim lalu, semua perlawanan Liga Malaysia disiarkan secara langsung di saluran YouTube Unifi, bermakna penyokong dengan mudah boleh menonton di mana-mana sahaja secara percuma.

Selain itu, peminat juga boleh menonton perlawanan pilihan di stesen televisyen RTM yang terpilih.

Apa yang menarik adalah, peminat boleh menonton lebih daripada satu perlawanan sekaligus di skrin yang berbeza.

Bagaimanapun, ‘kerjasama’ antara Astro dan RTM pada musim ini merupakan satu perkara yang baik kerana ia bermakna lebih banyak perlawanan yang dapat disiarkan kepada peminat.

Namun, memandangkan Astro akan menyiarkan semua perlawanan manakala RTM hanya 75 perlawanan, adakah ini bermakna Astro akan mempunyai hak kepada perlawanan pasukan-pasukan besar dan lebih popular seperti Johor Darul Ta’zim (JDT)?

Harus diambil kira bahawa Astro merupakan platform berbayar, dan terdapat segelintir peminat yang tidak melanggan saluran itu, dan ini bermakna jumlah tontonan untuk musim ini dijangka akan menurun berbanding musim lalu.

Sekiranya RTM hanya diberi ruang untuk menyiarkan perlawanan pasukan yang kurang ternama atau perlawanan petang sahaja, ia pastinya satu perkara yang mengecewakan peminat lebih-lebih lagi yang tidak melanggan Astro.

Usaha untuk memastikan lebih banyak perlawanan dapat disiarkan kepada para peminat dengan gabungan antara dua syarikat penyiaran itu adalah satu perkara yang wajar dipuji, tetapi pembahagian perlawanan juga haruslah dilakukan secara adil.

Jika perlawanan melibatkan pasukan pilihan hanya disiarkan di Astro, sudah pasti jumlah tontonan akan jatuh teruk berbanding musim lalu.

Peminat juga pastinya akan merindui Unifi yang mampu menyiarkan semua perlawanan, tidak kira sama ada pasukan kecil atau besar, secara langsung dan percuma.

Apa-apa pun, peminat pastinya ternanti-nanti pembahagian perlawanan yang akan dilakukan antara Astro dan RTM dan mengharapkan tiada pihak yang ‘memonopoli’ perlawanan melibatkan pasukan tertentu.