Mampukah Malaysia B-23 tebus kekecewaan skuad senior di Piala AFF?

221

Selepas kekalahan memalukan pasukan Malaysia di tangan Indonesia pada saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini, Harimau Malaya kini berpeluang untuk tebus kekecewaan menerusi skuad B-23.

Ini kerana pada saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, skuad senior negara tersingkir awal selepas tumpas pada perlawanan terakhir kumpulan B.


Dalam undian B-23 Piala AFF 2022 yang akan berlangsung di Kemboja pada Februari depan, Malaysia telah diundi bersama juara bertahan Indonesia, Myanmar dan Laos dalam kumpulan B.

Sumber foto: FAM Facebook

Namun kumpulan maut untuk edisi kali ini adalah kumpulan C yang mana naik juara 2019 Thailand diundi bersama Vietnam dan Singapura. Manakala kumpulan A pula menampilkan Filipina, Timor Leste, Brunei dan Kemboja.

Memandangkan hanya 11 pasukan yang bertanding dalam tiga kumpulan, oleh itu hanya tiga juara dari setiap kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik sahaja akan mara ke peringkat separuh akhir.

Bagi mempersiapkan skuad untuk berada pada tahap terbaik, pengendali B-23 Harimau Malaya, Maloney mahu anak buahnya bermain sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan antarabangsa sebelum ke saingan B-23 Piala AFF 2022.

Ini kerana pengendali berusia 49 tahun itu berkata perlawanan pemanas badan sangat penting untuk pasukannya mendapat peluang untuk layak ke separuh akhir dan akhir.

Sumber foto: AFC Asian Cup Facebook

Tidak mahu situasi yang berlaku pada skuad senior berlaku pada skuadnya, Maloney mahu mula membentuk skuadnya secepat mungkin.

Selain mempersiapkan skuad untuk saingan AFF 2022, Maloney juga perlu menyiapkan pasukannya untuk dua lagi kejohanan besar yang akan berlangsung pada tahun depan iaitu Sukan Sea Vietnam pada Mei dan Piala Asia B-23 pada Jun.

Sumber foto: AFC Asian Cup Facebook

Skuad kendalian Maloney ketika ini berada pada tahap yang agak baik selepas mereka layak ke Piala Asia 2022 apabila berjaya muncul sebagai juara kumpulan J selepas menewaskan Laos dan Mongolia serta seri dengan Thailand.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad B-23 Harimau Malaya diramal dapat meneruskan rekod cemerlang mereka disamping mampu cipta kejayaan pada saingan Piala AFF 2022, Sukan Sea dan Piala Asia.