Akta Keselamatan Sukan perlu diwujudkan dengan segera untuk melindungi atlet sukan

294

Isu membabitkan keselamatan atlet sukan sentiasa berlaku tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan tegas yang diambil walaupun masalah ini sudah berlarutan untuk satu tempoh yang lama.

Berikutan atlet tidak berasa selamat dek pelbagai gangguan yang dihadapinya ia secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada atlet tersebut dari segi mental dan juga fizikal yang mana ia akan membuatkan prestasi atlet tersebut merosot.


Namun perjuangan Safe Sport Malaysia (SSM) yang mahu Kementerian Beliau Dan Sukan (KBS) untuk mengusulkan Akta Keselamatan Sukan di parlimen belum lagi dilakukan, sebaliknya pihak kementerian hanya menjadikannya sebagai Kod Keselamatan Sukan sahaja.

Menteri Hannah Yeoh memberitahu beliau membuat keputusan itu dengan alasan jika ia hendak dibentangkan di Parlimen ia akan memakan masa yang lama, tapi jika dilaksanakan sebagai kod ia boleh dibuat dalam tempoh sebulan sahaja.

Keputusan itu nyata tidak menyenangkan Presiden SSM iaitu Sarina Sundara Rajah kerana beliau merasakan pelaksanaan kod Keselamatan Sukan itu tidak dapat melindungi keselamatan atlet itu secukupnya.

Ini kerana sistem sedia ada ketika ini tidak dibuat untuk melindungi kanak-kanak dan atlet tetapi untuk melindungi sukan dan reputasinya sahaja.

Tidak dapat dinafikan kod Keselamatan Sukan juga dapat memberi manfaat kepada atlet, namun ianya lebih baik jika dapat diselaraskan dengan akta untuk memberi perlindungan yang menyeluruh kepada atlet yang terlibat.

Sekiranya akta tersebut diwujudkan, maka setiap permasalahan yang membabitkan keselamatan atlet oleh individu tidak bertanggungjawab itu boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah yang dilakukan.

Ia akan membuatkan atlet berasa keselamatan mereka lebih terjamin sekaligus tidak akan menjejaskan prestasi mereka.

Perkara seperti ini sudah banyak kali berlaku apabila mangsa yang tampil membuat aduan tidak dilindungi sepenuhnya sebaliknya mereka pula menjadi mangsa tohmahan, kecaman dan pelbagai lagi.

Jadi tidak hairan sekiranya atlet akan berasa trauma bukan sahaja dek menjadi mangsa di tempat ‘kerja’ mereka tetapi juga mangsa kecaman ramai sehingga menyebabkan karier atlet itu musnah sedangkan mereka tidak bersalah langsung.

Sehubungan itu, diharap pihak KBS terutamanya menterinya mengambil perkara ini dengan serius dan terus memperjuangkan supaya proses untuk usulkan perkara itu ke Parlimen dapat dipercepatkan, seterusnya dapat diwujudkan demi kepentingan dan keselamatan atlet yang membawa nama negara ke persada antarabangsa.