Goh Giap Chin kembangkan bakat kejurulatihan di China, harap tak ikut perangai buruk Bong Guang Yik

218

Bekas pemain badminton negara, Goh Giap Chin mengembangkan sayapnya dalam bidang kejurulatihan ke luar negara apabila secara rasmi dilantik sebagi jurulatih di bawah Persatuan Badminton China (CBA).

Beliau ditempatkan di wilayah Guangxi dan ditugaskan untuk mencungkil bakat di kawasan itu untuk diserap ke skuad utama.


Ini pastinya satu perkembangan yang membanggakan memandangkan khidmat jurulatih tempatan kini diperakui oleh kuasa besar badminton dunia seperti China.

Pengalaman yang diperolehinya di sana juga adalah satu perkara yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia pada masa akan datang.

Beliau bakal mengikut jejak seorang lagi jurulatih dari Malaysia yang berkhidmat bersama CBA, Bong Guang Yik yang ‘popular’ gara-gara kenyataan biadapnya.

Guang Yik mencetuskan kontoroversi apabila mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan mempersendakan agama Islam.

Diharapkan Giap Chin tidak mengikut apa yang dilakukan oleh Guang Yik dan tetap akan menjaga budi pekerti sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan agama walaupun kini sudah berkhidmat di China.

Kontroversi yang dilakukan oleh Guang Yik haruslah dijadikan sebagai pengajaran oleh beliau serta mana-mana warga Malaysia yang ‘mencari makan’ di luar negara.

Ia bukan sahaja merosakkan imej negara sahaja, malah sebagai badan induk badminton negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pastinya turut menerima tempias daripada isu tersebut.

Diharapkan beliau akan menjaga nama baik dirinya, negara dan juga BAM apabila berkhidmat di sana dan membuktikan kehebatan bakat daripada Malaysia, sekaligus dapat memberi manfaat kepada arena badminton negara satu hari nanti.

Mungkin jika beliau berkesempatan untuk bertemu dengan Guang Yik di sana, beliau mampu menasihati rakannya itu mengenai kesalahan yang dilakukannya.

Tahniah diucapkan kepada Giap Chin atas tugasan baharu bersama CBA dan selamat maju jaya dalam menggalas tanggungjawab tersebut!