Dania Elisha mahu wakili Malaysia dalam sukan ping pong, ibu harap dapat pecahkan tradisi pemain Cina

709

Pemain ping pong cilik, Dania Elisha berharap dapat mewakili negara pada masa hadapan dan menjadi pemain terbaik.

Beliau yang berusia 11 tahun berkata, beliau telah mula bermain ping pong setelah melihat ayahnya dan minat itu timbul selepas mula bermain.


“Saya dah main ping pong sejak empat tahun lalu selepas melihat bapa saya bermain ping pong, lepas itu saya jadi minat.

Saya harap pada masa depan harap saya dapat menjadi pemain negara dan saya mahu teruskan kecemerlangan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Airul Hafis Zulkifli berkata, beliau berusaha untuk memberi yang terbaik untuk Dania memastikan beliau pergi jauh dalam sukan ini.

Menurutnya, dorongan ibu bapa adalah penting dalam memastikan anak berjaya dalam bidang sukan.

“Saya dulu pun bekas pemain ping pong juga tetapi tiada peluang untuk pergi jauh.

Jadi sekarang bila anak kita mempunyai peluang, kita pastikannya cukup dari segi jurulatih, pemakanan, latihan dan kelengkapan untuk kejayaannya.”

Dalam pada itu, ibu Dania, Nur Aina Sherrina Richard Kudi berharap dapat melihat Dania menjadi wanita Melayu pertama yang mengharumkan nama negara dalam sukan ping pong di peringkat antarabangsa.

Beliau mahu Dania memecahkan tradisi sukan ping pong di Malaysia yang kebiasaannya dikuasai oleh orang Cina.

“Saya harap Dania dapat buktikan kemampuannya dalam sukan ini dan mungkin dapat memecahkan tradisi ping pong yang selalunya diungguli pemain berbangsa Cina.

Mana tahu satu hari nanti dapat mewakili negara dan menyumbang pingat emas.”

Katanya, beliau sentiasa memastikan Dania dapat menyeimbangkan antara pelajaran dan juga sukan.

Beliau melihat sukan juga dapat memastikan masa depan yang baik buat anaknya.